BUNGA telang memang sudah sinonim dalam penyediaan makanan dan kuih-muih terutama sekali di negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Keunikan bunga telang paling terserlah pada warnanya yang biru terang sehingga digunakan sebagai pewarna semula jadi dalam masakan atau minuman. Antara makanan yang paling popular dikaitkan dengan bunga telang di negara ini tentulah nasi kerabu.
Di samping itu, bunga telang turut digunakan dalam perubatan tradisional yang mana bukan sahaja bahagian bunganya, malah daun, kekacang, batang hinggalah ke akarnya mempunyai khasiat tersendiri.
Bunga telang juga terbukti menerusi kajian saintifik mengandungi pelbagai manfaat tertentu untuk kesihatan badan.
Bertitik tolak daripada keistimewaan bunga telang inilah sepasang suami isteri bersepakat menjadikan tumbuhan daripada keluarga Fabaceae atau kekacang itu sebagai perusahaan mereka sehingga lahirnya aneka produk berasaskan bunga telang.
Bunga telang sememangnya jarang diketengahkan sebagai bahan asas pengeluaran produk, namun Noor Khairul Fatimah Ahmad, 35, dan suaminya, Zafarul Akram Zakaria, 36, dari Dengkil, Sepang terus mengorak langkah mengusahakan tanaman itu dan mengkomersialkannya selepas melihat potensi yang ada pada tumbuhan tersebut.
Menerusi platform HananGarden, pasangan itu mengeluarkan pelbagai produk berasaskan bunga telang seperti serbuk untuk pelbagai kegunaan, jeli, telang kering selain membekalkannya ke beberapa buah spa dan pusat terapi.
Menariknya, ke arah menginovasikan bunga telang, HananGarden kini bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Hasil produk bunga telang dari HananGarden juga telah diuji di makmal Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dari aspek nutrisi pemakanan serta jaminan selamat daripada kandungan kimia berbahaya.

Bercerita mengenai pembabitan awal mereka dalam perusahaan bunga telang, pemilik syarikat Akram Hanan Enterprise itu, Noor Khairul Fatimah berkata, semuanya bermula selepas dia dan suami tertarik dengan rahsia awet muda bapa angkat Noor Khairul Fatimah yang nampak masih bertenaga meskipun sudah berusia.
“Ayah angkat saya iaitu Haji Saroni atau lebih mesra dengan panggilan ‘Abah’ sudah berusia 71 tahun namun masih bertenaga, mempunyai daya ingatan kuat dan jarang sakit.
“Beliau mengamalkan pemakanan bunga telang sebagai ulam sejak usia muda lagi. Abah kemudiannya berkongsi petua itu dengan kami.
“Lalu kami mula menyemai bunga telang secara kecil-kecilan di pekarangan rumah pada Disember 2017,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Dengkil.
Noor Khairul Fatimah berkata, sebanyak 1,200 benih disemai di pekarangan rumah berkeluasan satu ekar dengan kaedah penanaman 100 peratus semula jadi.
Dia berkata, walaupun pada waktu itu mereka tidak menerima apa-apa bentuk sokongan kewangan, namun sambutan daripada pelanggan sangat positif.
Menurutnya, bagi menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perusahaan tanaman bunga telang itu, suaminya yang ketika itu berkhidmat sebagai pengawal pengiring peribadi mengambil keputusan berhenti kerja pada akhir tahun 2019.
Katanya, meskipun umum mengetahui bunga telang dijadikan bahan asas membuat nasi kerabu, tetapi masih ramai tidak tahu kegunaan lain bunga tersebut.
“Walhal kegunaan dan khasiatnya sangat luas. Sebenarnya banyak kedai atau restoran makanan organik menjadikan bunga telang sebagai ramuan menu istimewa. Khasiat bunga telang kepada kesihatan juga amatlah banyak,” katanya.
Melihat kepada kebolehpasaran bunga telang, dia dan suami tidak menoleh ke belakang lagi dan berkeyakinan tinggi untuk mengkomersialkan tumbuhan itu memandangkan kurangnya penglibatan usahawan dalam perniagaan tersebut.
“Pada peringkat awal pemasaran, kami hanya tumpukan kepada platform e-dagang selain menerusi media sosial. Tidak lama kemudian, perusahaan ini berjaya menembusi pasaran tempatan dan produk kami turut mendapat tempat di kedai-kedai organik terpilih.
Kami juga membekalkan produk ini ke beberapa buah spa dan pusat terapi di Cyberjaya,” katanya.

Jelasnya, bagi memastikan produk perniagaan terus mendapat sambutan, dia mula melangkah ke arah menginovasikan produk bunga telang.
“Selepas kajian dan maklum balas daripada pelanggan dibuat, maka terhasillah produk herba bunga telang yang diinovasikan dalam bentuk uncang.
“Setiap bungkusan easy pack ini sangat memudahkan pelanggan membawa dan menggunakannya di mana-mana sahaja,” katanya.
Antara produk itu ialah Blue Matcha atau serbuk biru yang boleh digunakan sebagai pewarna masakan dan minuman di samping boleh digunakan untuk kegunaan luaran.
“Kebanyakan pelanggan lebih gemar menggunakannya dalam produk penjagaan diri seperti pencuci muka,” katanya.
Untuk diminum pula, seperti uncang teh biasa, uncang itu perlu direndam dalam air panas.
“Uniknya minuman ini boleh dihidang panas atau sejuk dan enak jika dicampur lemon, limau kasturi, madu kelulut, perisa vanila selain campuran buahan atau bunga boleh dimakan seperti kelopak mawar.

“Untuk masakan pula, satu uncang itu perlu direndam dengan 100 mililter (ml) air panas selama lima minit sebelum diperah dan diasingkan,” katanya .
Tambahnya, produk jeli sebagai pencuci mulut dihasilkan daripada bunga telang dan rumpai laut manakala produk lain ialah bunga kuntum kering dan bunga kering kisar yang digunakan dalam pembuatan sabun, skrub muka dan badan.
“Usaha kami ini turut mendapat sokongan promosi daripada Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) Sepang,” katanya.
Noor Khairul Fatimah berkata, dia juga cuba menghasilkan mantou bunga telang atau roti kukus yang popular dalam kalangan masyarakat Cina.
“Saya guna satu uncang bunga telang yang direndamkan dalam 50ml air panas bersama dua helai daun pandan yang dikisar dan diambil pewarnanya. Resipinya hampir sama dengan pau cuma mantou lebih lembut,” katanya sambil memberitahu antara bahan lain yang digunakan seperti tepung gandum, serbuk penaik, yis dan minyak sayur.
Ibu kepada lima anak itu berkata, pembuatan mantou berasaskan bunga telang masih di peringkat kajian, namun tidak mustahil satu hari nanti akan turut dikomersialkan.
















