BERMULA hanya suka-suka bagi mengisi masa lapang dengan menghadiri kelas memanah tradisional sekitar 2011, wanita ini tidak menyangka sukan itu telah merubah hidupnya.
Selepas menjadi anak didik Bapa Panahan Tradisional Malaysia iaitu Tuan Sheikh Fuad Sheikh Mahmud selama enam bulan, ia telah menimbulkan minat mendalam kepada Norsiani Mohd. Nor terhadap sukan tersebut.
Minat dan cintanya kepada sukan memanah tradisional semakin mekar tatkala dia diberi kepercayaan menjadi pembantu jurulatih untuk mengajar kanak-kanak dan remaja.
Berpeluang menemu bual wanita hebat kelahiran Kuantan, Pahang itu menerusi panggilan telefon baru-baru ini, Norsaini memulakan perbualan dengan menjawab salam sebelum menjawab beberapa soalan diajukan.
“Ketika saya menjadi pembantu jurulatih, minat dan cinta saya terhadap sukan memanah tradisional ini semakin memuncak.
“Daripada sekadar suka-suka dan hendak isi masa terluang, saya jadi suka dengan memanah tradisional. Sukan ini telah merubah hidup saya ketika ini.
“Lagipun, saya lihat memanah tradisional ini mempunyai banyak kelebihan. Ia juga antara sukan yang disarankan oleh Rasulullah SAW,” katanya ketika membuka bicara bersama Aura.
Norsiani juga tidak pernah menyangka daripada sekadar hobi, sukan memanah tradisional kini sudah menjadi kerjaya serta sumber pendapatannya.
Pembabitan dalam sukan unik itu juga membolehkan Norsiani beraksi dalam pelbagai kejohanan yang dipertandingkan di peringkat tempatan dan dunia.

Bertahun ‘bersahabat baik’ bersama anak panah kayu, buluh serta tali busur, pelbagai kejayaan sudah mampu dibanggakan oleh Norsiani, bukan sahaja untuk diri, malah negara.
Antara pertandingan yang tidak boleh dilupakan Norsiani adalah ketika di World Nomad Games, Iznik, Turkiye pada tahun lalu. Pada kejohanan itu, dia berjaya memenangi pingat emas berpasukan bagi Puta Target kategori wanita.
“Uniknya, kejohanan ini mempertandingkan pelbagai sukan tradisional dari seluruh dunia termasuk memanah berkuda, kok par, kok buru, gusti dan eagle hunting.
“Kejayaan lain yang paling bermakna adalah sewaktu memenangi emas pada Kejohanan Memanah Tradisional Antarabangsa bagi kategori Central Asian Target di Kyrgyzstan dan Zhamby Target di Kazakhstan pada April lalu,” katanya.
Pun begitu, ramai tidak tahu bahawa sukan memanah tradisional bukan sahaja berbeza dari segi peralatan dan teknik, malah pemanah juga perlu mengenakan pakaian tradisional ketika kejohanan berlangsung.
Ditanya mengenai keseronokan dan keunikan memanah sambil menggayakan pakaian tradisional seperti batik, Norsaini menyifatkan ia satu penghormatan buat negara.
“Uniknya, apabila semua pemanah tradisional yang menyertai pertandingan di luar negara ini wajib mengenakan busana atau pakaian tradisional masing-masing.
“Semua pemanah juga wajib memakai busana atau pakaian tradisional semasa perarakan pada majlis pembukaan kejohanan.
“Ia bagi memperkenalkan negara masing-masing sebelum bermulanya pertandingan. Biasanya, kami para pemanah akan bergambar bersama dengan berpakaian tradisional.
“Ia persis berada dalam satu pertunjukkan fesyen baju tradisional. Ia juga tradisi kejohanan ini sejak dari dulu,” ujarnya.

Meneruskan perkongsian, Norsaini berkata, beberapa syarat asas perlu ada dalam diri setiap pemanah tradisional.
Terangnya, antara syarat tersebut adalah mempunyai ilmu memanah, minat dan peralatan sendiri.
“Ada pertandingan memanah tradisional antarabangsa yang menuntut badan-badan tertentu membuat pemilihan sebelum pemanah layak menjadi wakil sesebuah negara.
“Antaranya seperti Kejohanan Conquest Cup Fetih Kupasi 2019, di mana setiap negara hanya diberi kuota pemanah yang minima mengikut ketetapan pihak penganjur.
“Namun, bermula tahun 2020, penganjur telah membuat perubahan polisi iaitu tiada lagi tajaan penuh diberikan dan pendaftaran terbuka dilaksanakan,” katanya.
Melihat kepada kejayaan yang disumbangkan di pelbagai peringkat, ibu kepada tiga cahaya mata itu memiliki masa depan terbaik dalam acara tersebut.
Berdasarkan pemerhatian sebagai pemanah dan jurulatih serta Ahli Jawatankuasa Kelab Memanah Tradisional Cyberjaya (Cybertra), dia berkata, sukan memanah tradisional kini semakin rancak berbanding dahulu.
Katanya, sebelum ini, orang ramai kurang mengetahui akan wujudnya sukan memanah tradisional.
“Sekarang sukan ini telah mempunyai komunitinya sendiri. Ahlinya bukan sahaja terdiri daripada golongan dewasa, bahkan kanak-kanak.
“Penerimaan yang baik oleh rakyat Malaysia ini kerana ia adalah salah satu sukan sunah. Kos menghadiri kelas atau kursus sukan tradisional ini juga sangat berpatutan.
“Begitu juga dari segi peralatan memanah, ia boleh didapati dengan harga mampu milik.
“Sukan memanah tradisional ini mula diperkenalkan di peringkat sekolah seperti tadika, rendah, menengah hingga ke universiti.
“Cuma kita masih belum dapat berdiri sebaris dengan sukan-sukan lain di dalam Sukan Malaysia (Sukma).
“Saya berharap, masa depan sukan memanah tradisional ini dapat diletakkan di dalam Sukma pada suatu hari nanti.
“Di peringkat antarabangsa, sukan memanah tradisional ini sudah lama wujud, namun tidak terlalu popular.
“Bagaimanapun, ia telah berkembang dan berada dalam perancangan untuk menempatkan sukan ini sama seperti sukan teras lain melalui badan induk dunia,” katanya.
Berkongsi sedikit tip bagi mereka yang berminat menjadi pemanah profesional, Norsiani berpesan, niat memanah itu mestilah betul.
Ujarnya, seseorang itu juga perlu berguru secara bersemuka dan tidak hanya belajar melalui video atau media sosial.
“Hadir mana-mana kursus yang diadakan untuk memperbaiki teknik panahan dan endurance.
“Contohnya, kursus sains sukan dan sebagainya. Konsisten dalam latihan berkala.
“Jangan meninggi diri dan sentiasa positif merupakan antara tip penting yang perlu ditekankan kepada bakal pemanah,” katanya yang kini komited melahirkan pelapis terutama dalam kalangan remaja.
Sebelum menutup bicara, Norsiani memaklumkan, dia bakal menyertai pertandingan memanah tradisional antarabangsa di Turkiye pada tahun hadapan.














