PUTRAJAYA – Sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi tujuan mempercepatkan kelulusan perolehan projek dan pembangunan pasukan keselamatan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican bagi memantau pasukan tersebut dalam memastikan kesemua ke perolehan dapat dipercepatkan.
“Saya mahu sistem perolehan untuk pasukan keselamatan negara dirombak agar lebih telus dan dipercepatkan.
“Minggu lalu, saya ada perbincangan santai dengan rakan di Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan badan penguatkuasaan.
“Mereka semuanya menuntut perbelanjaan lebih besar kerana kelengkapan pertahanan kini agak terbiar,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan, mengakui sistem perolehan pertahanan ketika ini agak lemah selain banyak ketirisan berlaku dan sistem berkenaan perlu dirombak selain dipantau oleh golongan profesional.
“Walau akhir tahun, kita berikan keputusan (kelulusan) agar mereka teruskan kerja. Ini (input) saya dengar daripada perbincangan santai dengan pimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia dan badan penguatkuasa lain,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada warga kementeriannya yang bekerja sebagai satu pasukan dalam tempoh setahun ini untuk membangunkan negara.
“Dengan pengalaman saya setahun di Kementerian Kewangan, saya lihat sambutan alhamdulillah yang saudara saudari tak rasa tersinggung tetapi bekerja sebagai pasukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














