fbpx
Gambar hiasan

Kes Covid-19 naik sebab musim penyakit pernafasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peningkatan kes Covid-19 yang berlaku di negara ini disebabkan musim pe­nyakit pernafasan yang me­landa dunia masih dalam keadaan terkawal, namun disarankan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan dijangkiti.

Menurut Pakar Kesihatan Awam Universiti Malaya, Prof Dr. Sanjay Rampal, trend dalam peningkatan kes Covid-19 bukan sahaja boleh berlaku di negara kita, tetapi turut berlaku di seluruh dunia.

“Perkara ini berlaku disebabkan musim penyakit pernafasan yang sedang melanda dunia. Oleh itu, kita dapat melihat ada peningkatan dalam kes Covid-19 yang juga tergolong dalam kumpulan penyakit yang sama,” u­lasnya.

Tambah Dr. Sanjay, masyarakat tidak perlu panik sekiranya berlaku sebarang pe­ningkatan dalam kes Covid-19 kerana itu merupakan perkara biasa.

“Kita semua tahu Covid-19 selalunya berlaku dalam bentuk gelombang. Kini, jumlahnya sedang meningkat. Bagaimanapun, selagi ia tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada, masyarakat tidak perlu risau.

“Sekarang, tidak banyak kes yang memerlukan hospitalisasi. Malah, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) juga mempunyai sumber yang cukup untuk tampung jumlah pesakit yang mening­kat berikutan kes Co­vid-19 yang bertambah,” katanya.

Dr. Sanjay juga menggalakkan mereka yang tidak sihat agar memakai pelitup muka dan berjumpa dengan doktor secepat mungkin untuk pemeriksaan.

“Orang ramai boleh melakukan ujian Covid-19 secara kendiri di rumah. Malah, tahap keseda­ran dalam kalangan masyarakat juga semakin tinggi.

“Jadi, semakin ramai yang peka tentang kesihatan diri ma­sing-masing dan tidak teragak-agak untuk melakukan ujian sekiranya tidak sihat,” ulasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebanyak 3,626 kes Covid-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 November lalu, mencatatkan peningkatan sebanyak 57.3 peratus berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Majoriti kes yang dicatatkan adalah sebanyak 48 peratus membabitkan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Dalam pada itu, Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Malina Osman berkata, peningkatan jumlah kes mungkin berlaku disebabkan kewujudan varian baharu atau perubahan pada strain Covid-19.

“Dari segi klinikal, kewujudan varian ini tidak memberikan apa-apa impak yang serius terhadap sistem kesihatan, tidak seperti apa yang kita alami sebelum ini pada permulaan pandemik Co­vid-19 dahulu,” jelasnya.

Tambah Dr. Malina, orang ramai yang sudah mengambil vaksin Covid-19 tidak perlu risau dengan peningkatan kes yang berlaku ketika ini.

“Saya difahamkan, vaksin sedia ada diperbuat daripada strain varian sebelum ini. Ia mungkin berbeza ke­rana berlakunya perubahan struktur strain tersebut, mereka yang sudah mengambil vaksin masih lagi selamat tidak perlu bimbang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN