PETALING JAYA – Sikap over thinking (berfikir secara melampau) mengenai masalah yang bakal dihadapi selepas berkahwin menjadi salah satu penghalang kepada lelaki atau wanita untuk menghalalkan perhubungan mereka.
Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, ada kes di mana pengadu takut berkahwin selepas membaca pelbagai kisah negatif mengenai rumah tangga di media sosial.
“Over thinking seperti apa akan jadi jika pasangan enggan bercakap, tidak dapat anak, sukar hamil, penerimaan di usia lanjut dan macam-macam lagi.
“Sedangkan perkahwinan itu sekiranya kita menerima pasangan seadanya maka sudah tentu rumah tangga akan bahagia,” katanya.
Menurut Hushim, antara sebab lain wanita menjadi bujang senja ialah terlalu fokus kepada kerjaya dan takut memikul tanggungjawab,
Tambahnya, bagi lelaki, mereka lebih bimbang mengenai memenuhi keperluan isteri seperti duit, harta, rupa, kerjaya dan lain-lain.
“Mereka ini sebenarnya bukan tidak mahu kahwin tetapi takut dengan perkara-perkara yang disebutkan tadi,” katanya.
Hushim turut menasihatkan bakal pengantin tidak terpengaruh dengan kisah rumahtangga di media sosial kerana ada yang disampaikan tidak seperti realitinya.
“Apa yang berlaku berbeza-beza di atas individu itu. Jadi masing-masing kena tahu peranan mereka kerana banyak juga cerita positif dan bahagia di media sosial,” katanya.














