RATA-RATA rumah di Kampung Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis dicat warna-warni.

Warna-warni bak pelangi desa nelayan Kuala Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEAWAL pukul 8 pagi, perkhidmatan motosikal beroda tiga atau lebih dikenali sebagai ‘choley’ milik Nur Afiq Nasharudin, 27, mula menerima pelanggan pertamanya pada hari itu.

‘Choley’ yang boleh menampung penumpang sebanyak empat atau lima orang tersebut membawa pelancong bersiar-siar sekitar Kampung Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis, Perlis.

Kampung tersebut turut digelar atau dikenali sebagai ‘kampung pelangi’.

Kampung Warna-Warni Seberang Ramai meliputi tujuh kampung nelayan kecil iaitu Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tandiap, Kampung Seberang Alor, Kampung Baru Seberang, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam.

Secara keseluruhan, terdapat 12 hentian untuk dilawati iaitu laman congkak, laman bunga kertas, rumah putu beras, laman laksa, jambatan Tuanku Syed Putra, laman bestari, anjung Diraja, rumah penghulu Omar, laman bunga raya, rumah dodol, lorong negeri dan pantai Pulau Ketam.

Perkhidmatan dengan bayaran RM35 untuk perjalanan sekitar 3 kilometer itu dianggarkan memakan masa 45 minit hingga satu jam.

Menurut Nur Afiq, kebanyakan pelancong teruja melihat kesungguhan penduduk di tujuh kampung terlibat dalam menghias rumah mereka dengan pelbagai tema.

“Terdapat empat tema yang dibahagikan mengikut laluan iaitu empat warna bebas, warna Perlis (kuning dan biru), warna pelangi dan warna-warna bendera negeri lain.

“Selain menikmati pemandangan, pelancong tempatan dan luar turut akan diberi penerangan berkenaan sejarah, budaya serta juadah kampung ini,” katanya kepada K2.

Perubahan kampung nelayan tradisional kepada kampung warna-warni tersebut merupakan ilham Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan anakanda sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah.

Perlaksanaan Projek Diraja Transformasi Kampung Warna-Warni Perkampungan Warisan Nelayan Seberang Ramai itu dikemudikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Projek berkenaan juga mendapat kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan pihak swasta sejak Disember 2020.

Bagi menjayakan aspirasi tersebut, beberapa siri gotong-royong mega membersihkan kawasan sekitar kampung sepanjang tempoh November 2020 hingga Mac 2021 dianjurkan dengan penglibatan pelbagai pihak.

Aktiviti itu melibatkan 184 buah rumah dan dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 5 April 2021.

Seperti dijangka, projek tersebut bagaikan rahmat bagi penduduk kampung terlibat termasuk Nur Afiq setelah pelbagai manfaat dapat dituai hasil daripada kehadiran pelancong di kampung mereka.

Sebelum ini, pemuda yang mesra dipanggil Mat Apit oleh penduduk kampung itu terpaksa akur apabila pendapatannya sebagai pekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Namun, dia segera menemui hikmah apabila idea untuk menawarkan perkhidmatan choley kepada pelancong tercetus pada akhir tahun lalu.

“Berbekalkan modal RM4,000, saya beli sebuah choley yang ditempah khas dari Thailand pada Disember lalu.

“Permintaan menggalakkan membuatkan saya menambah dua lagi choley serta mengupah tiga pemuda kampung bagi menampung jumlah pelancong yang ramai,” tuturnya.

Tambahnya, pengalaman paling berharga sejak menjadi pengusaha perkhidmatan ‘choley’ adalah apabila dia diberi kepercayaan untuk menyantuni tetamu-tetamu berstatus orang kenamaan (VIP).

PERKHIDMATAN ‘choley’ disediakan untuk pelancong bersiar-siar.

Antaranya adalah wakil Palestin, Iran, Thailand dan Arab Saudi yang hadir sebagai tetamu Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Senada dengan Nur Afiq adalah seorang lagi penduduk kampung iaitu Abd. Rahman Awang yang turut menjadi saksi perubahan kepada kampungnya sejak program transformasi itu dilaksanakan.

Lelaki berusia 59 tahun itu merupakan generasi ketiga dalam keluarganya yang menetap di Kampung Tengah.

Pemandangan Kampung Warna-Warni Seberang Ramai dari atas Jambatan Tuanku Syed Putra.

Katanya, kampung tradisional nelayan itu dahulunya sebuah perkampungan rumah papan atas air yang suram dan tidak berseri.

“Dahulu, kampung kami hanya menerima kunjungan pelancong ketika acara Pesta Air Kuala Perlis yang sering diadakan pada hujung tahun.

“Namun, sejak pelaksanaan projek transformasi kampung, kehadiran pelancong lebih konsisten sepanjang tahun,” jelasnya.

Ujar lelaki yang terkenal dengan gelaran Pak Lah Gani itu, pendapatan peniaga-peniaga kecil kampung juga mengalami peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ini kerana, rata-rata pelancong yang datang mahu merasai kehidupan penduduk kampung tersebut terutama dari segi gastronomi.

Ujar Abd. Rahman lagi, perkara berkenaan merupakan sesuatu yang positif terhadap pelestarian makanan tradisional kampung yang sebelum ini hampir hilang ditelan zaman.

“Selain daripada meningkatkan pendapatan masyarakat kampung, kami juga gembira dapat mempromosikan makanan tradisional kepada orang luar.

“Di sini, ada pengusaha kuih-kuih tradisional seperti putu beras, bepang, kuih putu kacang, dodol dan halwa maskat.

“Kalau nak tahu, Perlis memiliki laksa sendiri. Laksa Perlis unik kerana ia dimakan bersama kuih spera dan pulut udang,” katanya.

Memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Tengah, Abd. Rahman menyatakan Program Transformasi Kampung Warna-Warni Seberang Ramai lebih daripada sekadar produk pelancongan.

Di sebalik tarikan visualnya, Kampung Warna Warni Seberang Ramai turut melambangkan semangat perpaduan penduduk tujuh kampung di kawasan tersebut.

Kongsi nelayan itu lagi, ramai penduduk mengambil inisiatif untuk menambah hiasan di sekeliling rumah mereka, sekali gus menjadikannya lebih menarik untuk dikunjungi.

“Walaupun kebanyakan tempat dihias dengan kerjasama pelbagai pihak luar, namun bagi kawasan perumahan, ia hasil inisiatif penduduk sendiri.

“Ada yang tambah buaian, ada yang sediakan gazebo di luar rumah dan bermacam-macam lagi cara bagi menyerlahkan kecantikan kampung ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN