fbpx
Cikgu Sarah pemilik syarikat Sarah Ismail Vocal Class Studio berpengalaman mengajar vokal kepada koir pelbagai jabatan kerajaan selain menjadi penasihat vokal kepada penyanyi terkenal tanah air seperti Amir Masdi, Liyana Jasmay, Kaka Azraff, Nabila Razali, Sufian Suhaimi, Noh Hujan, Shiha Zikir, Suki Low dan ramai lagi.

Hasrat Cikgu Sarah buka kelas vokal ditentang arwah bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tidak mengejar kepuasan dengan menjual produk fizikal seperti kecantikan atau makanan, Maisarah Ismail atau lebih dikenali sebagai Cikgu Sarah sebaliknya mempertaruhkan vokal sebagai ‘produk’ perniagaannya.

Menjadi guru vokal yang memiliki studio kelas vokal sendiri sejak sembilan tahun lalu, penglibatan Maisarah dalam dunia muzik pada awalnya bermula dengan menjadi penyanyi underground.

Berkelulusan sarjana dalam bidang muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), dia kini mengaplikasikan bakatnya kepada khalayak menerusi kelas vokal.

Sebagai seorang guru, jurulatih atau penasihat vokal, anak jati Kuala Lumpur ini berpengalaman mengajar banyak pihak termasuk koir jabatan-jabatan kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Perdana Menteri, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan banyak lagi.

Finalis Pencarian Nona Superwoman 2021 ini juga berpengalaman menjadi penasihat vokal kepada penyanyi terkenal tanah air seperti Amir Masdi, Liyana Jasmay, Kaka Azraff, Nabila Razali, Sufian Suhaimi, Noh Hujan, Shiha Zikir, Suki Low dan ramai lagi.

Bagi Maisarah, muzik itu indah dan mampu buat siapa sahaja tersenyum.

“Impian saya ingin menjadi seorang tenaga pengajar berpengaruh dengan meletakkan jenama saya sebagai seorang guru vokal terkenal yang dapat memberi inspirasi satu hari nanti,” ungkapnya membuka aksara kata kepada Aura.

Ditanya apa yang membuatkannya memilih laluan kerjaya sebagai guru vokal, Maisarah, 36, memberitahu minat tersebut dipupuk sejak berada di bangku sekolah menerusi aktiviti nyanyian.

Katanya, ketika di alam persekolahan, dia seorang yang aktif mementaskan persembahan pada acara-acara tertentu seperti Hari Guru dan Hari Kokurikulum.

“Ketika itu saya turut menyertai pertandingan nyanyian. Setelah menjadi aktif menyanyi, ibu bapa menasihatkan saya untuk meneruskan pengajian dalam bidang muzik di peringkat universiti.

“Dengan memiliki sijil yang diiktiraf, saya berhasrat untuk berkongsi ilmu vokal dengan masyarakat yang meminati seni nyanyian,” katanya.

CIKGU SARAH menyifatkan vokal yang baik turut berkait dengan kesihatan yang baik.

Jelas Maisarah, minatnya bergelar guru vokal semakin membara apabila menyaksikan seorang guru vokal memberi pengajaran dalam salah satu rancangan realiti televisyen.

“Dari situ, saya sedar menyanyi bukan sahaja seni, malah satu cabang yang boleh dijadikan mata pencarian jangka panjang yang menyeronokkan.

“Justeru, saya mulakan perniagaan kelas vokal melalui media sosial tanpa berfikir apa-apa. Sekadar untuk mencari rezeki secara sederhana dan membantu mereka yang memerlukan khidmat saya.

“Saya pada awalnya langsung tiada latar belakang bisnes, malah pelanggan iaitu pelajar pun tiada mulanya.

“Namun saya beranikan diri untuk meneruskan perniagaan bermodalkan perkhidmatan pengajaran vokal ini sampailah ada juga seorang dua yang tampil memerlukan khidmat saya.

“Melihat permintaan positif, saya ambil keputusan untuk sewa sebuah studio, walaupun jujur kata kadang-kadang saya tidak memperolehi apa-apa keuntungan kala itu,” tuturnya.

Dari situ, dia bersyukur apa yang dikorbankan termasuk masa dan wang ringgit akhirnya berbalas apabila beberapa artis mula sedar kewujudan kelas vokal yang diusahakan.

“Tak berapa lama kemudian, saya berpindah ke studio lain. Kelas vokal saya mula menerima sambutan penyanyi amatur dan perniagaan saya kian berkembang. Alhamdulillah kini kelas vokal yang saya bangunkan sudah hampir sedekad dan terus diterima ramai,” kata pemilik syarikat Sarah Ismail Vocal Class Studio itu.

Dirinya semakin dikenali selepas berpeluang berkongsi pengetahuan vokal secara spontan apabila menerima tawaran kolaborasi dari sebuah media, f8buzz yang mencipta satu saluran khas bertajuk ‘Video Reaksi’.

“Melaluinya, kehadiran saya disedari sambil berpeluang memberikan tip-tip nyanyian berpandukan rancangan realiti televisyen di Malaysia,” katanya.

Menyentuh mengenai episod sedih yang tidak mungkin dilupakannya ketika mengasaskan kelas vokal, Maisarah akui di awal pembabitan ia ditentang dan sama sekali tidak direstui arwah bapa.

Jelasnya, bapanya bertegas dan menyifatkan tiada jaminan apatah lagi masa depan cerah jika bekerja sendiri dengan membuka perniagaan kelas mengajar vokal.

“Biasalah orang tua nak yang terbaik buat anak mereka. Arwah ayah cakap begitu sebab dia pernah gagal dalam perniagaan dan dia tidak mahu saya mengikut jejak langkahnya.

“Tetapi saya tetap buka kelas vokal. Namun, ayah pergi dahulu meninggalkan saya. Saya sedih, kecewa dan terkilan arwah ayah tak sempat nak rasa bangga dengan pencapaian yang saya capai sekarang,” katanya sebak.

Anak ketiga daripada lima beradik ini berkata, segala apa ujian dan dugaan melanda, dia tetap bertekad mahu meneruskan legasi perniagaan yang diceburkan selagi mana termampu.

“Kekuatan dan ilmu vokal saya adalah aset terbaik untuk perniagaan ini terus maju ke hadapan dan diterima ramai

“Saya tutup mata segala dugaan, saya tutup telinga segala kata negatif,” ujarnya.

Berkongsi mengenai vokal, Cikgu Sarah menyifatkan sesiapa sahaja boleh belajar mengenai vokal.

Menurutnya, vokal satu komponen penting dalam bahasa lisan yang disebut dengan membuka saluran vokal agar tekanan udara tidak terkumpul dan dapat dikeluarkan sepenuhnya.

Ditebak teknik terbaik menjaga vokal, Cikgu Sarah berkongsi yang pertama adalah memastikan teknik pernafasan dan postur badan betul yang mana setiap penyanyi seharusnya bernafas secara semula jadi seperti biasa tetapi mengekalkan postur badan lurus agar mudah suara itu dikeluarkan dan tidak memaksa untuk bernafas.

“Keduanya lakukan aktiviti pemanasan vokal sebelum mula menyanyi. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk panaskan vokal seperti bubbling atau humming, agar diafragma dan peti suara bersedia untuk mengeluarkan suara yang kita mahukan dan tidak mengakibatkan paksaan dan tekanan kepada peti suara yang mana akan merosakkan suara.

“Terakhir, kesemua teknik di atas perlu diselitkan dengan senaman berkala dan makanan yang sihat. Ini bukan sahaja untuk suara tetapi secara keseluruhan.

“Kesihatan yang baik juga akan membantu mengeluarkan suara yang baik. Seandainya sakit, anda akan alami keletihan, hidung tersumbat, sakit tekak dan tidak menggunakan teknik betul dalam nyanyian sekali gus akan mengakibatkan kerosakan pada suara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN