KOTA BHARU – Seorang warga emas sempat menyelamatkan wang simpanan sebanyak RM2,000 yang disimpan di dalam poket baju selepas rumahnya di Kampung Bechah Kura, Peringat di sini terbakar petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu menyebabkan barangan dan kelengkapan di dalam sebuah bilik rumah Norzan Husin, 61, hangus terbakar.
Norzan berkata, sebelum kejadian berlaku, dia baru keluar dari rumahnya untuk menukar minyak hitam motosikal di sebuah bengkel di kampung tersebut.
“Ketika baru sahaja bergerak sejauh 50 meter, anak bongsu, Mohd. Shakir Yeh, 16, menelefon saya dan memaklumkan dia terhidu bau hangit dari sebuah bilik sebelum berlaku kebakaran.
“Saya terus berpatah balik ke rumah dan bergegas masuk ke dalam bilik itu untuk menyelamatkan wang simpanan sebanyak RM2,000 yang disimpan di dalam poket baju dan beberapa dokumen penting,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Norzan memberitahu, dia bersyukur kerana anak bongsunya yang merupakan seorang pelajar tahfiz tidak tidur di dalam bilik itu ketika kejadian dan sempat menyelamatkan diri semasa kebakaran berlaku.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Roslan Omar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 5.04 petang.
Katanya, tindakan pantas tujuh anggota bomba berjaya mengawal kebakaran di dalam rumah terbabit daripada merebak dan membakar seluruh rumah itu.
Tambahnya, punca kebakaran dan kerugian yang dialami penghuni rumah tersebut masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE