SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga emas ditemui mati dalam keadaan tersembam di lantai tandas rumahnya di Taman Seri Astana, di sini pada petang semalam.
Mangsa, Chong Swee Hong, 70, ditemui sepasukan anggota bomba sukarela Sungai Petani yang masuk ke dalam rumahnya kira-kira pukul 6.30 petang.
Pasukan bomba sebelum itu dimaklumkan jiran mangsa yang bimbang kerana tidak melihat kelibat lelaki terbabit sejak tiga hari lalu sedangkan pendingin hawa rumahnya berfungsi.
Ketika ditemui, mayat warga emas yang tinggal seorang diri itu telah membengkak dan mengelupas serta berbau.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam lalu.
“Pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur perbuatan jenayah. Mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














