fbpx
Ahmad Zahid beramah mesra dengan pimpinan UMNO Kedah ketika hadir merasmikan Retreat Biro Politik UMNO Bahagian Kedah di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

PRK Kemaman: BN tampil calon langsung, tidak lihat hierarki jawatan parti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Barisan Nasional (BN) menerusi UMNO berkemungkinan besar menampilkan calon langsung tanpa melihat kepada hierarki jawatan dalam parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu pada 2 Disember depan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata, pemilihan calon secara ‘direct candidate’ berkemungkinan besar akan dilakukan pada PRK tersebut.

“Kita pernah melakukan pemilihan calon untuk ‘direct candidate’ atau pun calon langsung tanpa melihat kepada hierarki jawatan dalam parti.

“Ia telah diterima dengan baik dan besar kemungkinan kaedah sama akan kita lakukan di Kemaman ini, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Retreat Biro Politik UMNO Bahagian Kedah di sebuah hotel, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kriteria pemilihan calon BN bagi PRK Kemaman dengan nama calon itu akan diumumkan pada Isnin ini.

Sementara itu, berhubung peluang memenangi kerusi tersebut berikutan kemenangan Perikatan Nasional (PN) dengan majoriti besar yang diraih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, kata Ahmad Zahid, indikasi kejayaan bukan semata-mata memperoleh kemenangan.

“Apa yang penting bukan hanya kemenangan tetapi sekurang-kurangnya majoriti seteru politik kita boleh dikurangkan. Itu adalah indikasi kepada kejayaan yang akan kita mulakan di Kemaman ini,” ujarnya.

Akhbar pada semalam melaporkan nama bekas pegawai kanan tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, 66, merupakan antara tokoh yang disebut-sebut sebagai calon BN untuk bertanding pada PRK Parlimen Kemaman.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

Pada PRU15, Che Alias dari Pas memenangi kerusi Parlimen Kemaman selepas memperoleh sebanyak 65,714 undi menewaskan Datuk Seri Ahmad Said yang mendapat undi sebanyak 38,535 dengan majoriti 27,179 undi.

Dua lagi calon yang bertanding di Parlimen itu, Rosli Ab. Ghani (Pejuang) dan Hasuni Sudin (Pakatan Harapan) masing-masing mendapat undi sebanyak 506 dan 8,340 undi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN