fbpx

Tangisi nasib Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SERANGAN berterusan rejim Zio­nis di bumi Gaza sejak 7 Oktober lalu telah mengakibatkan lebih 8, 300 penduduk maut dengan 3,457 mangsa terdiri daripada kanak-kanak, dan 2,136 wanita, sehingga kelmarin.

Selain berita rasmi di portal mahupun akhbar, gambaran sebenar banyak dikongsikan di media sosial yang memaparkan ketegangan situasi pengeboman di sana.

Klip video memaparkan anak-anak menjerit da­lam keadaan berlumuran darah, ibu bapa me­raung kematian anak dan jenazah bayi yang tersusun di tepi bangunan runtuh.

Terbaharu, penduduk menggali batu runtuhan menggunakan tangan kosong demi mencari ahli keluarga mereka dalam pengeboman di
kem pelarian Jabalia.

Situasi itu amat meruntun jiwa, bahkan ramai yang meluahkan rasa hiba sehingga tidak sanggup melihat klip-klip video tersebut kerana pasti berakhir ­dengan tangisan air mata.

Eksekutif Akademi (Pengajian Islam) Pusat Pengajian Diploma Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Space Kuala Lumpur, Syed Husaini Syed Hassan bagaimana­pun memberitahu, air mata ­kesedihan sangat bernilai kerana ia merupakan nilai persaudaraan dalam kalangan Islam seperti mana firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah ayat ke-71.

“Allah berfirman, dan orang-orang mukmin itu di kalangan lelaki dan perempuannya, iaitu sesama mereka itu membantu di antara satu sama lain.

“Begitu juga kita lihat dalam hadis Nabi Muhammad SAW, tanda-tanda keimanan seseorang itu antaranya adalah menyukai apa yang ada pada dirinya, maka perkara sama juga disukai untuk saudaranya yang lain.

“Ketika negara kita berada dalam keadaan yang aman, kita juga patut idamkan untuk negara Palestin. Bagaimana kita menerbitkan atau menzahirkan rasa solidariti kita kepada saudara-saudara di sana adalah dengan cara kita menzahirkan kesedihan kita,” ujarnya.

Tambahnya, kesedihan juga banyak disebutkan di dalam al-Quran termasuklah yang di­rakamkan Allah mengenai kejadian yang menimpa Nabi Yakub AS, yang menangis akan kehila­ngan anaknya Nabi Yusuf sehingga buta matanya.

“Kalau kita lihat, dalam surah Yusuf bagaimana Nabi Yakub AS bersedih dengan musibah me­nimpa dirinya sehingga matanya menjadi putih (sakit atau buta) kerana teramat sedih kerana kehilangan anaknya.

“Namun, dalam masa sama Allah SWT menyebutkan dialog Nabi Yakub ketika mana dia menyebutkan, ‘Sesungguhnya aku hanyalah mengadu kesusahan dukacitaku kepada Allah’.

“Maka, disebutkan di sini, kesedihan yang kira rasa terhadap Palestin ini bukanlah semata-mata air mata yang mengalir di pipi tetapi ia adalah petunjuk yang ada pada surah Yusuf ini, kesedihan itu ditambah dengan pengaduan kepada Allah, meng­angkat tangan dan berdoalah agar kemenangan diberikan kepada Palestin,” ujarnya.

Katanya, umat Islam yang bersedih dengan keadaan di Pa­lestin boleh mengamalkan doa khusus qunut nazilah bagi setiap solat fardu seperti ditunjukkan Nabi Muhammad SAW ketika berlakunya suatu pengkhia­natan dan pembunuhan ke atas beberapa sahabat baginda.

Bacaan qunut nazilah ini juga telah dilaksanakan di masjid di seluruh Perlis sejak 9 Oktober lalu dan penulis berharap perkara sama dapat dilaksanakan di negeri lain untuk mendoakan kemenangan ke atas orang Islam di Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN