Kajang – Jika kebanyakan peniaga barang kemas terutama di Pantai Timur mengeluh kekurangan pelanggan walaupun harga emas semakin menurun, namun ia berbeza dengan pengusaha di Lembah Klang yang menyaksikan lonjakan pembeli.
Biarpun dalam keadaan ekonomi tidak menentu akibat penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, namun ia tidak menghalang orang ramai daripada membeli emas.
Tinjauan Kosmo! di beberapa kedai emas sekitar Lembah Klang mendapati, rata-rata premis itu masih dipenuhi pelanggan sehingga ada yang sanggup beratur di luar premis.
Malah, peniaga juga tidak menang tangan melayan jumlah pelanggan melebihi 100 orang sehari.

Pegawai Pemasaran, Kedai Emas Sri Tanah Merah Bangi, Hasnaa Syariah berkata, jumlah pelanggan sehari yang dicatatkan melalui buku rekod pelanggan di premis itu sekitar 50 hingga 100 orang sehari bergantung kepada keadaan.
“Jika hari biasa jumlah pelanggan sekitar 50 hingga 70 orang, namun pada hujung minggu atau cuti umum jumlahnya meningkat sekali ganda,” katanya di sini semalam.
Tambah Hasnaa, faktor harga emas yang jatuh ketika ini mendorong orang ramai mengambil kesempatan untuk membeli emas sebagai perhiasan diri atau pelaburan pada masa hadapan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Emas SY Fawwaz, Suhaida Yusoff mengakui permintaan terhadap emas di kedainya di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi sentiasa dipenuhi pelanggan antara 80 hingga 100 orang sehari sehingga mereka tidak menang tangan melayan.

Turut berkongsi kisah sama, peniaga emas, Siti Salmah Abdul Hamid yang juga pemilik Kedai Emas Faidh yang terletak di Taman Puncak Jalil, Seri Kembangan, permintaan terhadap emas dikedainya masih tinggi meskipun keadaan ekonomi ketika ini tidak stabil.















