fbpx
Azhar memegang dua ekor dhab yang diternaknya di RKT Kamunting Baru Tambahan Expo, Kamunting, Taiping.

Harga dhab cecah RM10,000 seekor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Biarpun berpengalaman 29 tahun menternak biawak padang pasir ataupun dhab, Azhar Mohamad Shafawi, 51, enggan mengambil mudah soal penjagaan reptilia berkenaan.

Baginya, pengalaman dimiliki itu membuatkannya lebih peka terhadap aspek penjagaan lebih 100 ekor dhab yang dibelanya ketika ini di RKT Kamunting Baru Tambahan Expo, Kamunting, Taiping, Perak.

Menurut pemilik ladang Dhab Sinai itu, biarpun habitat asal dhab adalah padang pasir, ia tidak bermakna haiwan itu boleh dibiarkan begitu sahaja dan cukup sekadar memberinya makan.

“Nak menjaga dhab bukan setakat memberinya makan, malah lebih daripada itu. Contohnya dari segi suhu tempat tinggal, ia merupakan satu perkara yang perlu diberikan perhatian.

“Suhu memainkan peranan penting jika mahu memastikan telur-telur dhab berjaya menetas. Jika terlalu sejuk, kebarangkalian ia tidak menetas adalah tinggi,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Justeru, katanya, antara langkah yang diambil bagi memastikan kebarangkalian telur-telur itu menetas termasuklah menempatkannya di dalam inkubator.

Azhar yang merupakan graduan Universiti Al-Azhar, Mesir sekitar tahun 1990-an itu berkata, seekor dhab bertelur kira-kira 30 biji dengan setiap daripada telur itu mempunyai peluang 50 peratus untuk menetas atau sebaliknya.

Disebabkan itu, ujarnya, dia sentiasa memberi tumpuan terhadap suhu tempat tinggal biawak padang pasir tersebut agar lebih banyak telur dhab menetas, dengan 35 darjah Celsius merupakan suhu ideal bagi haiwan berkenaan.

“Disebabkan Taiping terletak di kawasan yang julat hujannya agak tinggi, jadi saya perlu ambil langkah sewajarnya untuk memastikan suhu di ladang dhab ini tidak jatuh terlalu banyak ketika hujan,” ujarnya.

Dia turut berkata, seekor dhab boleh bertelur setelah mencapai usia matang iaitu sekitar 2 tahun 6 bulan.

Lemak dhab digunakan bagi penghasilan minyak untuk perubatan.

“Selain suhu, saya juga perlu memastikan dhab di ladang ini diberi makanan yang seimbang. Antara yang dimakan haiwan itu termasuklah bunga raya, tulang sotong, salad, sawi dan kubis, kacang dal, kacang panjang dan kacang hijau.

“Orang ramai jangan terkejut kerana biawak dhab ini tidak makan daging, bahkan serangga juga bukan sebahagian daripada makanan haiwan itu,” katanya yang turut memaklumkan, kos makanan bagi dhab di ladangnya mencecah kira-kira RM3,000 sebulan.

Menurut Azhar, dhab juga tidak boleh duduk terlalu banyak dalam satu kawasan kerana boleh mendatangkan stres kepada haiwan berkenaan.

“Dalam ruang 20 x 20 kaki persegi, antara empat hingga lima ekor sahaja boleh ditempatkan di situ. Jika terlalu banyak di dalam suatu kawasan, ada kemungkinan dhab itu akan bergaduh,” katanya.

Dia memaklumkan, haiwan itu juga sensitif dengan waktu makannya iaitu sekitar pukul 1 tengah hari atau 2 petang, bahkan jika hujan, ia tidak akan makan pada hari berkenaan.

“Antara cabaran lain menjaga haiwan ini ialah sekiranya ia jatuh sakit, saya perlu menjaganya dengan rapi. Sebagai contoh, jika terkena penyakit selesema, maka antara langkah perlu diambil ialah kuarantin.

“Pada 2019, saya ada sekitar 100 ekor anak dhab, namun disebabkan penyakit selesema itu, hanya 20 yang tinggal,” katanya yang turut memaklumkan dhab tertua di ladangnya berusia 18 tahun.

Pada masa sama, Azhar memberitahu, harga bagi seekor dhab matang ketika ini boleh mencecah RM10,000 seekor, namun dia tidak berhasrat untuk menjualnya kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, ujarnya, dia menggunakan dhab bagi tujuan perniagaan kerana haiwan itu mempunyai pelbagai kegunaan terutama dari aspek kesihatan.

“Dhab mempunyai banyak khasiat, yang biasanya diproses menjadi produk kesihatan seperti minyak. Saya sendiri telah menjual minyak dhab sejak 90-an dan berterusan sehingga hari ini,” katanya.

Azhar berkata, seekor dhab mengandungi kira-kira 500 mililiter (ml) lemak yang merupakan antara bahan utama dalam penghasilan minyak biawak padang pasir berkenaan.

“Selain itu, saya juga mencampurnya dengan herba-herba terpilih dari dalam dan luar negara seperti minyak habbatus sauda, zaitun, bijan, kelapa dara serta akar kayu.

“Biarpun resipi bagi minyak dhab itu diperoleh dari Mesir, saya turut lakukan inovasi dengan memasukkan bahan-bahan tempatan seperti lada hitam dan herba-herba berkenaan,” katanya.

Tambahnya, selain menghasilkan minyak, ia juga diproses kepada bentuk pil bagi kegunaan orang ramai.

“Jika di Arab Saudi, mereka makan haiwan ini dengan masakan popular di sana termasuklah sup dan kabsa. Difahamkan rasanya sama seperti ayam atau burung merpati, namun di Malaysia kita tidaklah sampai memasaknya jadi hidangan,” katanya.

Dalam pada itu, Azhar memberitahu, fakta menarik tentang haiwan itu ialah dhab menukar jantinanya sebanyak dua kali setahun iaitu sekitar enam bulan sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN