SEAWAL usia sembilan tahun, pemuda itu sudah tertarik dengan keindahan tarian tradisional dari negeri kelahirannya, Sabah.
Memandangkan di sekolahnya mempunyai kelab tarian, dia memutuskan untuk menyertai kelab tersebut agar dapat belajar dan mendalami tarian-tarian etnik negeri itu.
Menurut penari bebas (freelance), Muhammad Amir Syahmi Romeo, 22, dalam kepelbagaian seni tari etnik di Sabah, dia amat tertarik dengan tarian yang diinspirasikan oleh burung.
“Tarian inspirasi burung seperti sumazau merupakan seni tradisi suku kaum Kadazandusun yang menjadi sebahagian daripada warisan etnik saya, Kadazan.
“Sejak melihat tarian itu semasa di sekolah rendah, saya sudah tertarik melihat gerakan dan tarinya yang mentafsirkan sejarah dan kehidupan masyarakat dalam bentuk tarian,” katanya kepada K2.
Tambah pemuda asal Kota Kinabalu itu, minatnya terhadap seni tarian turut memberi peluang buat dirinya untuk lebih mendalami asal usul dan tradisi keturunannya.
Sepanjang mendalami ilmu tarian, dia juga mempelajari bahawa burung menjadi inspirasi dalam beberapa tarian tradisional di Sabah.
Selain tarian sumazau, terdapat beberapa tarian daripada etnik berbeza yang turut menjadikan burung sebagai inspirasi dalam tarian mereka.
Tarian tersebut adalah pangalay (daling-daling) dari suku kaum Suluk, mongigol (suku Tobilung) dan pinakang (suku Kimaragang).
Keempat-empat tarian ini mempunyai persamaan dengan mengambil gerakan burung sebagai rutin dalam tarian mereka, namun dalam konsep penceritaan yang berbeza.
Menurut penari tradisi profesional, Marlena J James, 42, bagi beberapa etnik atau suku kaum di Sabah, burung merupakan antara haiwan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
“Hubung kait burung ini kebanyakannya berkisar tentang kehadiran haiwan itu dalam kehidupan seharian, sebagai contoh suku kaum Kadazandusun tidak asing dengan burung berkeliaran di sawah padi yang menjadi sumber ekonomi mereka.
“Pergerakan burung yang terbang melayang-layang di udara dizahirkan menerusi pergerakan tangan diarahkan ke atas dan ke bawah semasa tarian dilakukan,” ujarnya.

Kongsi wanita asal Lahat Datu, Sabah itu, mengikut sejarahnya, tarian-tarian inspirasi burung ini kebanyakannya mengambil ilham daripada gerakan burung helang.
Walaupun inspirasinya sama, namun dalam keempat-empat tarian mempunyai perbezaan dari segi ragam atau rutin tarian mereka.
Jika tarian sumazau, rutinnya lebih kepada kisah semasa musim menuai padi yang mana ada gerakan bercucuk tanam diikuti dengan gerakan burung terbang.
“Bagi tarian mongigol, seni itu mengambil ilham daripada gerakan helang, namun tarian itu hanya dipersembahkan oleh penari wanita.
Tariannya mirip sumazau, namun sumazau boleh ditarikan bersama pasangan, sedangkan mongigol wanita sahaja.
“Hal ini berikutan mengikut sejarahnya, seni itu dicipta oleh seorang gadis yang terpesona melihat burung helang yang terbang dan mengepak sayap di udara,” jelasnya.
Katanya lagi, bagi tarian pinakang pula, ia diilhamkan daripada tiga ekor helang yang sedang terbang di udara semasa proses membuat kain pinakang.
Oleh yang demikian gerakannya juga lebih kepada mengikuti gerakan tiga ekor helang itu yang mencerminkan ketangkasan dan kemegahan burung berkenaan.
Bagi tarian pangalay, gerakan inspirasi burung pula dizahirkan menerusi liuk-lintuk badan, kaki serta pergerakan kaki yang khusus oleh penari-penarinya.
Tidak hanya itu, aksesori seperti kuku tiruan yang panjang dan bengkok ke belakang yang disematkan pada sepuluh jari penari dan sapu tangan atau kipas tangan memperlihatkan lagi keunikan tarian ini.
Sementara itu, seorang lagi penari profesional, Rithaudin Abdul Kadir memberitahu, secara ringkasnya seni tarian berasaskan burung ini wujud berasaskan pengalaman kehidupan seharian sama ada petani atau nelayan.
“Semasa berehat mahupun membuat pekerjaan, komuniti petani dan nelayan ini akan terdedah kepada alam termasuklah seni tari tradisi.
“Bagi suku kaum Kadazan dan Tobilung pemerhatian gerak burung semasa menjalankan aktiviti bercucuk tanam, manakala bagi etnik Suluk pula semasa menjalankan aktiviti nelayan,” kongsinya.
Tambahnya, dari aspek persembahan, secara amnya tarian-tarian ini dipersembahkan pada acara perayaan atau keraian.
Katanya lagi, mengikut tradisi, gerakan dalam tarian ini tidak mempunyai rutin (koreografi) khusus, tetapi lebih kepada gerakan bebas mengikut ciri khas tarian itu sendiri yang dipelajari sejak turun-temurun, selain ditarikan mengikut irama muzik berdasarkan etnik masing-masing.
Bagaimanapun, apabila ia dikomersialkan atau menjadi persembahan pentas, barulah wujud satu rutin yang dicipta bagi menjadikan persembahan itu tampak lebih khas dan menonjolkan seni kreatif dengan keunikan tradisi setiap suku kaum.
Meskipun begitu, dalam apa jua bentuk, tarian itu masih mengekalkan ciri aslinya termasuk dari aspek inspirasi dan pengaruh dalam setiap tarian.
“Semua tarian tradisi Sabah termasuk yang diiinspirasikan daripada burung mempunyai kisah di sebaliknya yang menjadi identiti buat setiap tarian.
“Namun, bagi mempersembahkan secara formal, penciptaan koreografi adalah perlu bagi menjadikan setiap tarian nampak lebih tersusun dan adanya penceritaan supaya penonton lebih mudah memahami seni berkenaan,” ujarnya.
Jelasnya, dengan adanya koreografi juga, generasi muda turut mudah tertarik untuk mempelajari seni tari tradisi serta meneruskan legasi seni tradisional terutama di Sabah.















