Ketika ini isu harga dan bekalan beras sedang hangat diperkatakan. Bermula dengan kenaikan harga beras import, selepas itu timbul pula isu bekalan beras tempatan yang sukar diperoleh dipercayai sebab disorok dan ditukar kampit.
Ada juga pihak mendakwa beras yang merupakan sumber makanan utama rakyat Malaysia tidak cukup di pasaran kerana habis diborong sebab pembelian panik.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun sudah memulakan siasatan berhubung kepincangan dalam aktiviti pengedaran beras, namun bukan isu beras yang ingin penulis ulaskan.
Penulis tertarik dengan kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengenai gaji pokok anggota polis berpangkat rendah iaitu konstabel.
Mengikut maklumat yang dikongsikan Unit Pengambilan Polis Diraja Malaysia (PDRM), gaji permulaan konstabel adalah RM1,441.
Benar kata Mohd. Shuhaily, semua konstabel yang menyertai PDRM secara automatik mereka berada dalam kategori B40 iaitu miskin.
Sebelum ini kita sibuk membincangkan gaji minimum RM1,500 pekerja di Malaysia, tetapi bagaimana pula dengan gaji anggota polis yang memikul tanggungjawab besar menjaga keselamatan negara?
Bekerja dalam pasukan PDRM ibarat seperti menggadai nyawa sendiri. Mereka melaksanakan tugas yang berisiko tinggi walaupun melakukan rondaan, mereka mendepani musuh dari segenap penjuru termasuk dalam selimut.
Walaupun menerima pelbagai imbuhan seperti elaun khidmat, elaun sara hidup, elaun perumahan dan lain-lain elaun bergantung jabatan mereka bertugas, namun gaji bersih yang diterima masih rendah lebih-lebih lagi yang tinggal di bandar-bandar besar dan mempunyai banyak tanggungan.
Topik gaji anggota rendah pernah dibangkitkan ketika PDRM di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Hamid Bador pada 2019. Beliau meminta kerajaan ketika itu mengkaji gaji dan keperluan anggota sebagaimana yang dinikmati Polis Singapura, Jepun, Hong Kong, New Zealand, Australia dan negara-negara maju lain.
Apabila menerima gaji setimpal ia secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko kes salah laku seperti rasuah dan pemerasan untuk mendapatkan wang.
Namun, lebih daripada itu, ia dapat meringankan beban memandangkan kos sara hidup tinggi ketika ini selain menaikkan semangat untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk pasukan dan masyarakat.
Dengan tawaran gaji menarik sekurang-kurangnya RM1,800, pada pandangan penulis ia secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai terutama bukan bumiputera untuk menyertai pasukan Sang Saka Biru.
Harapan penulis adalah topik gaji anggota pangkat rendah pada kali ini tidak berlalu begitu sahaja.
Moga ada khabar gembira untuk pasukan PDRM menerusi Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan kerajaan esok.














