fbpx
Abdullah banyak membantu wanita yang menjadi mangsa produk berasaskan merkuri.

Dr Cute bantu rawat mangsa produk merkuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Memiliki wajah yang cantik dan sihat menjadi i­daman bukan sahaja golongan wanita daripada yang berusia muda seawal peringkat kanak-kanak sehinggalah ke peringkat warga emas, tetapi juga menjadi igauan kaum lelaki.

Ada yang sanggup melabur ribuan ringgit untuk membeli produk kecantikan pelbagai jenama termasuk membeli suplemen untuk meningkatkan kesihatan secara dalaman.

Bagi yang kurang sabar, produk ‘segera’ yang memiliki kandungan berbahaya menjadi pilihan untuk mendapatkan ha­sil yang cepat selain memiliki kulit wajah yang berseri, putih, gebu dalam tempoh yang singkat.

Tetapi hasilnya, ia akan memberi kemudaratan kepada ­mangsa-mangsa produk segera itu kerana ia memiliki bahan berbahaya seperti merkuri.

Pengalaman tersebut turut dirasai oleh bekas seorang doktor perubatan sewaktu beliau me­lanjutkan pelajarannya di sebuah universiti tempatan sehingga menyebabkan wajah Pengasas Dr Cute International Sdn. Bhd., Dr. Abdullah Allias, 41, yang sedia ada berjerawat menjadi semakin teruk.

Menurut beliau, inilah akibatnya apabila menggunakan produk penjagaan kecantikan tanpa ilmu kerana teruja membaca iklan di majalah dan mahu mengubah wajahnya yang berje­rawat sejak kecil.

Sehingga kini, meskipun wajahnya sudah kembali sihat selepas menjalani proses rawatan yang agak lama dengan menggunakan produk buatan daripada bahan semula jadi tetapi kesan wajah usahawan yang terkenal dengan gelaran Dr Cute menjadi terlalu sensitif.

Bersandar pengalamannya tersebut selain minatnya dalam bidang perubatan khususnya dalam bidang estetik membolehkan beliau menyimpan misi untuk membantu lebih ramai mangsa produk merkuri di luar sana me­rawat dan mengembalikan semula kejelitaan semula jadi kumpulan tersebut.

Beliau yang pernah bertugas sebagai doktor perubatan di sebuah klinik kesihatan dan juga membuka beberapa klinik di Desaru, Johor kerana minatnya yang mendalam dalam bidang tersebut terpaksa meninggalkan kerjaya yang menawarkan pendapatan stabil setiap bulan.

“Saya telah diuji dengan penyakit yang berkaitan dengan sihir sehingga menyebabkan banyak klinik saya ditutup ke­rana setiap kali menjejakkan kaki ke dalam klinik, segalanya tidak menjadi dan banyak kesilapan yang berlaku.

“Klinik tersebut masih beroperasi tetapi ia dikendalikan rakan niaga saya di sana,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk terbaharu Glow-Up Tinted Sunscreen, di sini baru-baru ini.

Dari Johor, Abdullah berhijrah ke Shah Alam dan memulakan perniagaan awalnya dalam bidang kecantikan serta menggunakan platform media sosial khususnya TikTok untuk me­ningkatkan pengetahuan orang ramai tentang penjagaan kesihatan wajah dan juga kesan penggunaan produk merkuri.

“Sepanjang dua tahun saya bangunkan empayar Dr Cute dan saya melihat ramai orang menggunakan TikTok untuk berhibur semata-mata, tetapi saya menjadikan ia sebagai medan ilmu untuk meningkatkan pengetahuan ramai orang dalam bidang kecantikan yang betul.

“Saya tidak mahu menjadi orang popular tapi mahu berkongsi ilmu bersama semua orang,” jelasnya.

Tambah beliau, untuk mendapatkan rawatan di klinik estetik, caj perkhidmatannya adalah terlalu mahal selain produknya juga menelan kos yang sangat tinggi sehingga boleh mencecah lebih daripada RM20,000.

Ia juga bergantung kepada kes-kes penyakit kulit yang dihadapi pelanggan.
Tambah Abdullah, hampir separuh daripada pelanggannya kini terdiri daripada mangsa produk ‘timbang kilo’ yang memberi kesan kemudaratan kepada kulit wajah.

Melihat kepada statistik jumlah mangsa yang terus meningkat, beliau aktif membangunkan produk-produk di bawah jenama Dr Cute untuk kumpulan sasaran tersebut.

Sehingga kini, syarikat telah memiliki lapan sku (unit simpanan stok) meliputi daripada pencuci muka hingga kepada kepada sunscreen yang dijual daripada harga serendah RM29 seunit.

“Untuk memulihkan kulit wajah yang rosak adalah satu pro­ses yang panjang dan tiada jalan singkat bagi mana-mana mangsa selain itu mereka juga dinasihatkan untuk mengambil suplemen,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai produk baharu itu, Abdullah berkata, Glow-Up Tinted Sunscreen merupakan asas dalam pemakaian solekan yang diformulasikan untuk menghasilkan kulit yang lebih cerah, melembapkan serta memberikan efek glowing.

Kata beliau, ia mengandungi bahan-bahan aktif seperti titanium dioxide, alpha arbutin dan hyaluronic acid dan turut berfungsi sebagai pelindung matahari kerana memberikan perlindungan daripada cahaya matahari dengan SPF50 dan PA+++.

“Di samping itu, produk tersebut turut bertindak sebagai serum, pelembap dan asas solekan yang menjadikan Glow-Up Tinted Sunscreen ini sebagai produk kecantikan dan solekan lima dalam satu,” katanya.

Didatangkan dalam tiub dan pembungkusan eksklusif dan mewah, harga untuk seunit Glow-Up Tinted Sunscreen dengan isipadu 20 gram adalah RM89. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN