MELAKA – “Jika benar mayat pemuda itu R. Darvnrajh, 24, saya tak dapat bayangkan bagaimana dia menderita sebelum menemui ajal apabila dibunuh secara kejam dipukul dan ditikam tanpa belas kasihan.
“Apalah salah anak saya diperlakukan sedemikian. Dia anak yang baik, lembut dan tak pernah buat aniaya pada orang.”
Itu suara hati K. Vathma, 55, sebaik mengetahui laporan bedah siasat ke atas mayat pemuda yang jasadnya ditemui di dalam semak di Ladang Gadek, Kemuning, Alor Gajah pada Sabtu lalu.
Laporan itu menyatakan mangsa dibunuh dengan 18 kesan tikaman dan beberapa tulang retak serta patah. Kesan tikaman juga ditemui pada beberapa bahagian termasuk dua kali di leher, dada (6), kaki kanan (4), tangan kiri (2), kaki kiri (3) dan satu di tangan kanan.
Selain itu tengkorak si mati juga retak pada bahagian sebelah kiri, dua tulang leher patah, tulang lengan tangan kanan patah, tulang lutut dan kaki patah, tulang rahang retak pada beberapa bahagian dan tiga kesan luka pada jantung.
Menurut Vathma, kalau betul jasad itu milik anaknya, dia buntu mengapa anaknya diperlakukan sedemikian.
Katanya, dia menuntut supaya keadilan dapat ditegakkan untuk anaknya itu.
“Darvnrajh taat kepada keluarga dan tidak pernah bergaul dengan rakan-rakan yang mempunyai masalah sosial. Dia juga tidak pernah pergi jauh, berkonvoi dan sebagainya.
“Dia bersama adiknya berusia 17 tahun hanya duduk di rumah kerana mereka minat permainan video. Jika dia hendak keluar mesti minta izin saya,” katanya ketika dihubungi.
Semalam Kosmo! melaporkan Vathma percaya mayat pemuda yang ditemui itu ialah anaknya walaupun belum mendapat keputusan padanan DNA.
Vathma mengesyaki anaknya dibunuh angkara wang RM4,000 yang diperoleh daripada jualan motosikal jenis Yamaha 125Z untuk dibuat modal memulakan pencarian pekerjaan di Singapura.
Menurut Vathma, ketika kejadian pada 10 September lalu, dia berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri upacara keagamaan dan anaknya meminta izin untuk keluar menonton wayang bersama rakan-rakannya.
Tambahnya, kejadian itu menyebabkan dia bertindak pergi ke rumah rakan anaknya yang didakwa keluar bersama-sama pada hari Davnrajh hilang tetapi mereka menafikan terlibat dengan perkara itu.
“Anak saya ni lembut orangnya, jadi kalau kata dia dipukul atau dianiaya orang memang saya percaya,” katanya menahan sebak.
Ujar Vathma, dia tidak mengenai tiga lelaki tersebut dan hanya mengetahui mengenai mereka yang tinggal di kawasan taman yang sama selepas kejadian berlaku.
Katanya, dia tidak begitu gemar kawan-kawan anaknya datang ke rumah jadi mereka akan berjumpa di restoran mamak di hadapan rumah untuk melepak.
“Saya baru tahu salah seorang kawannya tinggal di belakang rumah. Saya tidak pergi ke lokasi untuk pengecaman mayat, namun percaya jasad yang ditemui itu ialah anak saya berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang tular,” katanya.
Menurut Vathma, dia yakin individu yang dipukul dan dibawa menaiki sebuah kereta merupakan anaknya tetapi masih menunggu pengesahan ujian DNA daripada pihak hospital.
Tambahnya, dia tidak dapat mengecam pakaian yang dipakai anaknya keraan dia berada di Kuala Lumpur ketika itu.
“Dia hilang pada hari jadi saya. Sejak Sabtu lalu saya sudah pasang khemah untuk upacara pengebumian tetapi terpaksa ditangguhkan kerana mayat anak tak kunjung tiba,” katanya.














