PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam di Baitur Rahmah, Istana Nurul Iman, Brunei Darussalam, malam semalam.
Perkara itu dimaklumkan oleh Istana Negara dalam satu hantaran di akaun Facebook, hari ini.
Menurutnya, majlis tersebut dihoskan oleh Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berdua berangkat tiba di Brunei pada Sabtu malam selepas menyantuni rakyat di Lawas, Sarawak dan bersemayam di Bandar Seri Begawan.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua di hotel penginapan di Bandar Seri Begawan pada pukul 11.20 malam disambut Putera Mahkota Brunei, Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Haji Al-Muhtadee Billah dan isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.
Hari ketujuh Kembara Kenali Borneo hari ini dijadualkan ke bandar raya Miri, Sarawak.
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, kini berangkat melakukan perjalanan sejauh 2,154 kilometer Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – KOSMO! ONLINE














