JOHOR BAHRU – Meskipun berdepan dengan masalah kesihatan seorang warga emas tidak melepaskan peluang dan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai hari ini.
Ramli Mohamed, 65, yang menghidap angin ahmar antara pengundi awal hadir kira-kira pukul 8.15 pagi di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Melati di sini.
Menurut anak yang mengiringi warga emas itu, Norol Asmawati, 35, bapanya yang diserang strok sejak beberapa tahun lalu bersemangat untuk mengundi pada PRK kali ini.
“Ayah memang bangun awal setiap hari, pukul 4 sudah bangun hari ini, ayah tidak boleh bercakap dan ada masalah pendengaran, jadi kami yang cakap ada pengundian PRK.
“Dia cakap nak hadir untuk mengundi, jadi kami bawa seawal pagi,”katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi warga emas, Noriah Abdullah, 71, dari Taman Dahlia, Tampoi di sini yang juga berdepan dengan masalah kesihatan turut berkesempatan hadir mengundi.
Jelasnya, dia yang mengalami sakit lutut hadir dengan menggunakan kerusi roda dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat pengundian.
Kedua-dua warga emas itu merupakan antara 165,509 pemilih berdaftar yang layak mengundi Parlimen Pulai.
Hari ini proses pengundian PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berlangsung di kesemua 61 pusat pengundian.
Sebanyak 294 jumlah saluran di 47 pusat mengundi di Parlimen Pulai, manakala 68 jumlah saluran di 14 pusat mengundi bagi DUN Simpang Jeram.
Bagi DUN Simpang Jeram, sejumlah 40,301 pemilih berdaftar layak mengundi.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup pada 23 Julai lalu.-KOSMO! ONLINE














