SEBELUM ini, setiap kali membuat pemeriksaan kesihatan dan rawatan di hospital, gadis itu perlu menyediakan perbelanjaan tambahan bagi membiayai perjalanannya.
Disahkan mempunyai virus HIV sejak kecil, Lisa (bukan nama sebenar) akan kerap ke hospital bagi membuat pemeriksaan dan mengambil stok ubatnya.
Menurut gadis berusia 20-an itu, ada ketikanya kos perbelanjaan sangat membebankan kerana dia bukanlah dari golongan orang yang berada.
“Saya membesar di kampung, ibu serta ayah sudah tiada dan saya serta abang perlu berusaha sendiri untuk menampung hidup.
“Kami berdua juga positif virus HIV dan perlu datang ke hospital untuk setiap pemeriksaan serta mengambil ubat khas buat pesakit seperti kami,” katanya ketika ditemu bual K2 menerusi sidang video baru-baru ini.
Tambahnya, ada ketika dia hampir putus asa untuk mendapatkan rawatan kerana masalah kewangan. Namun, demi untuk hidup sihat seperti manusia biasa, dia berusaha juga mencari solusi.
Bagaimanapun, situasi Lisa mendapat perhatian seorang jururawat di hospital yang kemudian menyarankannya untuk berhubung dengan Yayasan AIDS Malaysia (MAF).
Kongsi Lisa lagi, saranan tersebut telah memberi sinar dalam hidupnya yang mana dia tidak menyangka ada organisasi yang mengambil perhatian untuk orang sepertinya.
“Membesar dalam persekitaran yang skeptikal terhadap penghidap HIV dan ada pihak yang menjauhkan diri, membuatkan saya berasa seperti tiada siapa yang peduli dengan nasib kami.
“Tetapi, sejak mengetahui akan adanya MAF, saya berasa amat terharu kerana ada pihak yang memperjuangkan nasib pesakit HIV dan membantu meringankan beban kami.
“Saya juga dibantu MAF dari segi kewangan, mereka menampung kos perjalanan ke hospital, memberi bantuan makanan dan macam-macam lagi,” ujarnya.
MAF merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 1993 dan diperbadankan sepenuhnya pada tahun 2003 di bawah Akta Pemerbadanan Pemegang Amanah (1952).
Objektif organisasi ini adalah untuk mencegah penyebaran HIV di Malaysia selain memberi pendidikan tentang perkara-perkara berkaitan HIV/ AIDS kepada keluarga dan rakan-rakan penghidap
HIV, orang awam dan pihak berkuasa di peringkat kebangsaan serta tempatan di Malaysia.

Yayasan ini juga memberi sokongan kepada orang yang hidup dengan HIV, melindungi hak asasi manusia di Malaysia yang mungkin mengalami diskriminasi kerana status HIV mereka dan menyediakan bantuan kewangan atau bentuk sokongan lain kepada badan, organisasi serta institusi dalam menjalankan aktiviti mereka.
Menyorot sejarah, sejak kes pertama HIV dikesan di Malaysia pada tahun 1986, kerajaan semakin menyedari ancaman penyakit tersebut.
Kemudian, apabila epidemik itu disedari melibatkan capaian dalam segmen sukar, kerajaan telah menubuhkan Majlis AIDS Malaysia (MAC).
Selepas itu, MAC telah menubuhkan MAF sebagai yayasan pengumpulan dana berhubung AIDS pada tahun 1993 bagi membantu kerajaan menanganinya pada masa itu. Begitulah bermulanya kewujudan MAF sehingga objektif penubuhannya semakin meluas.
Memasuki tahun 2023, MAF telah mencapai usia tiga dekad dalam melaksanakan objektif mereka.
Berjuang bersama MAF sejak awal penubuhan, antara tonggaknya ialah bekas pengerusinya, Datin Paduka Marina Mahathir.
Kongsi Marina, perjalanan organisasi itu bukanlah mudah. Kata beliau, semasa memimpin MAF, dia perlu melaksanakan pelbagai usaha bagi menangani pelbagai isu dari setiap sudut.
“MAF mengajar saya banyak perkara tentang HIV, AIDS dan individu yang menghidapnya.
“Di peringkat awal, dalam keadaan kesedaran yang kurang, tiada akses perubatan dan penularan yang semakin berkembang, ia memberi cabaran buat saya untuk menanganinya secara menyeluruh.
“Saya dan pasukan MAF ketika itu, berusaha keras untuk mendapatkan perhatian di peringkat global dan glokal tentang pentingnya isu HIV, AIDS ini yang mana pada awalnya dipandang enteng oleh segelintir pihak,” jelasnya.
Tambah beliau yang juga merupakan mantan Presiden Majlis AIDS Malaysia, dalam menangani situasi di awal penubuhan MAF, beliau melaksanakan pelbagai langkah termasuk meraih perhatian golongan pemimpin.
Beliau mencari jalan untuk mengumpul dana, melaksanakan usaha kesedaran dan membuka akses kepada perubatan buat pesakit tempatan.
“Usaha-usaha ini kami laksanakan secara proaktif hingga berjaya membuka mata ramai pihak yang turut membantu perjuangan MAF.
“Tidak hanya itu, antara pencapaian yang bermakna adalah kita merupakan negara di Asia terawal yang berjaya menyediakan akses perubatan buat pesakit HIV untuk rakyat secara percuma,” kongsinya yang berkhidmat bersama MAF hingga tahun 2005.
Dalam tiga dekad, perjuangan murni MAF telah menunjukkan hasil serta memberi manfaat buat puluhan ribu pesakit HIV/ AIDS seluruh Malaysia.
Pada tahun 2017 misalnya, MAF telah mewujudkan Teratak Kasih Tok Nan yang merupakan rumah perlindungan buat pesakit HIV di Sarawak. Pada tahun 2019, MAF mewujudkan MyLady Assistance Scheme bagi golongan wanita pesakit HIV memperbaiki hidup.
Perjuangan yang tiada titik noktah, usaha MAF kini diteruskan di bawah kepimpinan Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman.
Kongsi beliau, selepas tiga dekad, keutamaan MAF adalah untuk meningkatkan akses kepada kos rawatan termasuk antiretroviral (ARV) kerana rawatan itu bukan sahaja boleh menyelamatkan nyawa, malahan dapat membendung jangkitan baharu HIV.
“Usaha ini selari dengan prinsip U = U atau Undetectable = Untransmissible. Maksudnya, seseorang yang hidup dengan HIV yang menerima rawatan ARV dan mencapai tahap jumlah virus yang sangat rendah di dalam badannya sehingga ia tidak dapat dikesan (undetectable) kemungkinan orang itu menjangkiti pasangannya melalui seks (tanpa kondom) ialah zero (sifar).
“Kemungkinan ibu mengandung yang hidup dengan HIV yang menerima rawatan yang sama dan mencapai tahap undetectable menjangkiti bayi dalam kandungan adalah juga zero,” katanya.
Jelasnya lagi, prinsip tersebut juga menjadi tulang belakang kepada Pelan Strategik Nasional bagi Mengakhiri AIDS menjelang tahun 2030 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang meletakkan sasaran 95 peratus dari populasi Orang Yang Hidup dengan HIV atau AIDS (ODHA) di Malaysia disaring, menjalani rawatan ARV dan mencapai tahap tidak dapat dikesan.
“Sehubungan dengan itu untuk langkah ke hadapan, MAF ingin memperkukuhkan lagi respons kami bagi mencapai sasaran mengakhiri HIV, AIDS.
“MAF komited dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kepada komuniti yang terjejas dengan penyakit HIV/AIDS selain memastikan akses yang saksama melalui perkhidmatan rawatan dan pencegahan bagi menyelamatkan nyawa dan meneruskan perjuangan menghapuskan stigma dan diskriminasi,” ujarnya.
Katanya, selain tumpuan kepada rawatan, MAF bersama Majlis AIDS Malaysia dan KKM ingin juga memperluaskan program pencegahan yakni PrEP- Pre Exposure Prophylaxis.
PrEP adalah ubat pencegahan yang ditawarkan kepada individu yang berada pada risiko yang besar untuk dijangkiti HIV.
Kaedah pengambilan rawatan PrEP yang diambil oleh mereka yang berisiko terbukti dapat mengurangkan jangkitan sebanyak lebih 90 peratus dan usaha memperluaskan program ini giat dijalankan di seluruh dunia dalam usaha untuk mengakhiri AIDS menjelang 2030.













