fbpx
AZHAR SULAIMAN

Azhar Sulaiman ‘jual’ kehidupan demi konten

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUTUKLAH sekeras mana, tidak pernah sekali pelakon bertubuh kecil itu melenting saat anak daranya, Kasih Iris Leona ‘diterjang’ netizen dengan kata keji menghiris hati.

Bagi Azhar Sulaiman, seburuk-buruk Leona di mata netizen, gadis berusia 24 tahun itu tetap darah dagingnya sendiri.

Di situlah letaknya tegar seorang bapa melihat anaknya sering menjadi subjek perhatian netizen, dek kelakuan dan penampilan yang dikatakan terlalu mencolok mata bagi seorang gadis beragama Islam.

Menelan semua hamburan orang, lelaki separuh abad itu mengakui tidak boleh menyalahkan masyarakat atas perhatian keterlaluan terhadap Leona, begitu juga dua anaknya yang lain memandangkan statusnya sendiri sebagai selebriti.

SEBAGAI bapa kepada tiga orang cahaya mata, Azhar mahu melihat kejayaan anak-anaknya bukan sahaja di dunia, bahkan juga di akhirat.

‘Tempias’ anak

Sedikit sebanyak, pelakon berusia 53 tahun itu terkena tempias sehingga dilabel bapa yang gagal mendidik anak.

“Ada orang persoalkan bagaimana cara saya mendidik anak. Saya beritahu mereka, cara saya mendidik anak tidak sama dengan orang lain.

“Apa yang saya buat adalah antara saya, anak-anak dan Tuhan. Yang ‘menjawabnya’ juga nanti adalah saya,” katanya.

Bercerita tentang anak-anak, terutama Leona, Azhar berkata gadis itu mula menunjukkan perubahan penampilan sejak menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terdedah dengan media sosial.

“Tentang Leona, daripada segi pemerhatian saya, dia mula berubah selepas tamat SPM dan aktif bermain media sosial.

“Sebelum habis sekolah, dia tidaklah begitu. Tapi selepas SPM, dia jadi ‘gila’. Sebagai bapa, sudah tentu saya juga terkena tempiasnya.

“Kalau saya orang yang tidak dikenali, mungkin tiada isu. Tapi disebabkan saya seorang selebriti, jadi tumpuan yang diberikan itu jadi lain.

“Jadi bila orang sebut Leona, automatik orang akan tahu dia anak saya. Begitu juga dengan anak-anak yang lain iaitu Kasih Leia Ixora dan Andika Rees Pahamin,” katanya.

PELAKON filem Mira Edora ini mengakui, jika tidak aktif dalam media sosial seperti sekarang, dia mungkin hanya akan bergelar seorang arkitek sepenuh masa dan ghaib dari radar dunia seni hiburan.

Kontroversi jadi makanan

Bercerita tentang lagak Leona berbikini baru-baru ini, bekas pemenang tempat ketiga pencarian Hero Remaja 1990/1991 itu berkata, dia sebenarnya enggan melihat perkongsian anaknya itu dalam Instagram.

Dia kemudiannya dimaklumkan anak sulungnya, Kasih bahawa Leona telah pun memadam gambar tersebut tanpa disuruh.

“Tentang Leona pakai bikini baru-baru ini, saya memang tidak mahu tengok. Tapi kakak dia beritahu, Leona sudah pun memadam gambar tersebut.

“Selepas itu barulah saya memuat naik status bersyukur gambar itu telah dipadam tanpa saya lihat dan tegur.

“Saya pun tidak tahu punca dia padam gambar tersebut. Mungkin ada orang lain yang sarankan dia untuk padam,” jelasnya.

Foto:FARIZWAN HASBULLAH Solekan: VIE XENDDRA (@vxenddraisa_ Penata gaya: DEAN ISHAK (@deanishak)

Sebagai seorang artis, Azhar cukup sedar kecenderungan netizen terhadap cerita-cerita bersifat kontroversi dan sensasi kerana perkara sebegitu lebih menarik perhatian.

Malah kata Azhar, dia tidak rimas dengan kritikan yang sering dilemparkan ke atas anaknya kerana faham skop kegilaan netizen.

“Lumrah manusia ingin tahu sesuatu, lagi-lagi tentang keburukan. Sensasi itu yang menarik perhatian masyarakat.

“Saya tidak rimas apabila orang selalu kritik anak saya. Kerana saya sudah pun ‘bermain’ dengan permainan ini (menjadi selebriti).

“Lagi pun saya tidak boleh mengharapkan pujian semata-mata. Bila orang puji, kita suka. Tapi bila orang keji, takkan kita nak melenting pula. Saya kena terima semuanya,” jelas Azhar.

SEBAGAI pelakon berpengalaman, Azhar Sulaiman sentiasa beringat bahawa kedudukannya tidak akan selamanya berada di atas. Dia perlu akur dengan evolusi zaman bahkan harus ‘menjual’ kehidupan demi dalam media sosial.

Relevansi

Azhar yang kini aktif mengumpul pengikut dalam TikTok dengan menggunakan gelaran sebagai ‘mummy’ tidak menafikan, adakalanya perlu ‘menjual’ kehidupan peribadi demi konten, selain turut menyentuh tentang isu-isu semasa.

Kata Azhar, dia perlu mengikut peredaran zaman dengan aktif bermain media sosial terutama TikTok, untuk menjadikan dirinya sentiasa ada dan kekal relevan.

“Kadang-kadang saya jual ‘kehidupan’ saya sebagai konten. Daripada situ wartawan akan jadikan bahan berita mereka.

“Saya okey dan tidak kisah sebab itu adalah ‘permainan’ media sosial. Lagi pun saya tidak berkira dengan wartawan sebab kedudukan saya hari ini pun disebabkan mereka,” jelasnya.

Biarpun mengakui konten-konten yang dihasilkan adakalanya meraih kejian, namun jumlahnya tidak sebesar pujian dan sokongan yang diterima.

“Yang mengecam itu ada, cuma bilangannya tidak seramai mereka yang menyukai saya. Ada juga yang datang jumpa untuk minta maaf sebab pernah benci saya.

“Ada seorang lelaki sanggup datang dari Jerantut, Pahang semata-mata untuk jumpa dan minta maaf.

“Alasan sebab dia benci saya dan tinggalkan komen buruk dalam media sosial saya,” katanya ketawa.

mengakui dirinya ‘ratu lewat’, namun kesungguhan dan keberkesanan lakonan menjadikan Azhar tetap disenangi banyak syarikat produksi untuk terus diajak bekerjasama.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN