fbpx
RAMLAH menyifatkan dakwaan sesetengah pihak tentang ketirisan hak Melayu pada masa ini hanyalah momokan dan semangat patriotisme masyarakat Malaysia hari ini terhakis kerana sifat kenegerian.

Usah melampau semangat kenegerian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sejarah merupakan subjek yang cukup penting dan perlu difahami oleh semua.

Semangat patriotisme dan cintakan negara pula perlu dipupuk dalam kalangan semua dan dijadikan sebagai panduan dalam membina masa depan. Justeru, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 baru-baru ini dan menjelang Hari Malaysia pada 16 September depan, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam di kediaman beliau di Klang, Selangor baru-baru ini berhubung sifat patriotisme masyarakat masa kini dan isu-isu kenegaraan.

KOSMO! AHAD: Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan ke-66 baru-baru ini dan akan menyambut Hari Malaysia pada 16 September nanti. Berdasarkan pengamatan Prof, bagaimana semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat masa kini?
RAMLAH: Bagi saya ketika ini terdapat masalah perpaduan dalam negara apabila ada beberapa negeri ketika ini yang menganggap mereka lebih patriotik berbanding negeri-negeri lain. Bagi saya, semangat patriotik ini perlu ditekankan dan jangan sesekali ada soal kenegerian yang melampau.

Selain semangat kenegerian yang begitu tinggi dalam kalangan penduduk di Sabah dan Sarawak, ketika ini saya melihat terdapat tiga buah negeri di utara yang juga mempunyai sifat kenegerian yang melampau akibat pengaruh politik. Perkara ini menimbulkan satu keadaan yang tidak menyeronokkan dan menyebabkan semangat patriotisme itu seolah-olah terhakis.

Hal ini kerana saya melihat mereka seolah-olah lebih patriotik terhadap negeri masing-masing dan bukannya terhadap negara. Adakah mereka meletakkan Malaysia nombor dua dan negeri mereka nombor satu? Ini adalah satu soalan yang besar kerana mereka yang bersifat kenegerian melampau ini seolah-olah tidak sedar bahawa negara seharusnya dijadikan sebagai keutamaan.

Ramai beranggapan anak muda kini semakin kurang patriotik dan kurang berminat hal sejarah negara. Pada pandangan Prof., sejauh mana benarnya?
Bagi saya , saya tidak bersetuju jika semua orang fokus terhadap semangat patriotisme golongan muda kerana ramai juga orang-orang tua yang tidak tahu sejarah dan tidak patriotik.

Ramai juga orang tua yang mencaci maki pemimpin, mencaci maki negara. Ada orang tua yang hanya mahu memahami sejarah songsang seperti mengatakan bahawa komunis itu bukan satu jenayah walhal sejarah memang mengatakan bahawa komunis itu membunuh orang awam dan juga pemimpin. Banyak sejarah kini yang saya lihat adalah ditulis mengikut interpretasi baharu, mengikut fahaman sendiri.

Untuk menyatakan mengenai sifat patriotisme pula, dalam sesetengah orang, ada yang kuat dan ada yang tidak, bergantung kepada banyak faktor seperti pengalaman dan juga gaya hidup mereka.

Bagi saya, masih ramai yang mempunyai semangat patriotisme ini dan cara mereka menzahirkannya adalah berbeza-beza. Jika mereka tidak meletakkan bendera Malaysia, bukan bermakna mereka tidak cintakan negara. Oleh itu, semangat itu sebenarnya tidak terhakis dan masih ada dalam kalangan masyarakat kita tidak kiralah sama ada muda mahupun tua.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (empat dari kiri) berkenan menghadiri acara sambutan Hari Kebangsaan ke-66 negara bersama para pemimpin negara baru-baru ini.

Sebagai seorang pakar sejarah, pada pandangan Prof. apakah momen bersejarah yang sebenarnya paling patut diingati masyarakat semasa bulan kemerdekaan ini yang boleh memberikan keinsafan?
Saya rasa momen paling perlu diingati adalah ketika kita menurunkan bendera Union Jack di Kelab Selangor. Apabila bendera itu diturunkan, negara menaikkan pula bendera Persekutuan Tanah Melayu.

Biarpun pengaruh British itu tidak boleh kita kikis sepenuhnya sehingga kini, namun peristiwa itu melambangkan bahawa kita akhirnya lepas dan bebas daripada cengkaman penjajah.

Cengkaman penjajah adalah sesuatu yang masih ada dan sudah menjadi darah daging kita, seperti bertutur dalam bahasa Inggeris dan sebagainya, namun kebebasan itu adalah sesuatu yang perlu diingati.

Ada pihak menganggap rakyat negara ini mungkin kurang patriotik atau semangat cintakan negara jika dibandingkan negara lain seperti Indonesia yang dikatakan memperoleh kemerdekaan dengan pertumpahan darah sedangkan kita secara diplomasi. Patutkah mereka anggap negara mencapai kemerdekaan dengan mudah?
Bagi saya tidak, kerana cara kita mendapatkan kemerdekaan adalah berbeza dengan Indonesia. Dalam kes Indonesia, penduduknya begitu ramai dan mereka bersifat kesukuan seperti Jawa yang amat dominan menentang Belanda.

Apabila pemimpin Soekarno menyatukan Indonesia dengan satu bahasa, satu bangsa dan satu negara, maka perpaduan itu berlaku.

Selain itu, saya juga memuji Indonesia kerana mereka mempunyai sejarah mereka tersendiri yang digarap.

Indonesia juga amat menanamkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakatnya dengan menggunakan bahasa Indonesia dalam urusan negara.

Beza Malaysia dengan Indonesia yang saya lihat adalah kita kurang tegas dalam dasar-dasar negara seperti penggunaan bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan yang diubah-ubah mengikut pemimpin. Bagi Indonesia pula, mereka tegas dengan dasar satu bangsa satu negara.

Salah satu cara meningkatkan patriotisme adalah dengan memahami sejarah negara. Malangnya, generasi muda pada hari ini kurang meminati subjek Sejarah. Apakah faktor menyebabkan perkara ini berlaku dan usaha yang perlu dilakukan bagi menarik minat generasi kini meminati sejarah?
Subjek sejarah ini sebenarnya amat berat dan oleh sebab itu pelajar tidak menyukainya.

Jika dilihat pada silibus buku sejarah, ia cukup berat dan saya sendiri beranggapan bahawa ia tidak akan menarik minat pelajar.

Sebagai contoh, cerita Perang Dunia yang diceritakan dalam silibus.

Bagi saya, ia tidak ada kena mengena dengan kita memandangkan kita perlu belajar sejarah negara kita.

Jika seseorang itu mahu belajar sejarah dunia, mereka boleh mengambil subjek tersebut secara berasingan.

Sejarah memang berat bukan sahaja pada murid, tetapi juga guru-guru yang perlu mengajar subjek tersebut.

Selain itu, dahulu kerajaan tidak melatih jumlah guru sejarah yang cukup dan masalah kekurangan guru sejarah ini juga menyebabkan subjek ini semakin berat dan susah.

Sesetengah pihak dilihat cuba membangkit isu-isu berkait sejarah tapi mungkin tidak tepat sehingga mencetuskan kekeliruan, misalnya baru-baru ini, Prof. ada menegur mengenai sewaan Pulau Pinang sudah lama terbatal berhubung dakwaan pihak tertentu bahawa Pulau Pinang milik Kedah, apakah nasihat Prof. mengenai hal begini?
Bagi kes Pulau Pinang itu, memang sewa daripada Francis Light mengatakan bahawa selagi ada bulan dan bintang, ya betul, namun selepas itu ada perjanjian-perjanjian lain dan perjanjian itu sudah menjadi terbatal akibat kerana itu sudah menjadi dasar kita iaitu apabila kita membuat perjanjian baharu, perjanjian lama sudah tidak lagi diguna pakai. Jadi kita perlu peka.

Kita juga tidak boleh argue pada satu titik sahaja.

Sewaan tersebut dikatakan tiada tarikh luput, namun mengapa perjanjian tersebut dibuat dan mengapa ia tidak dibantah?

Sebaik saja negara mencapai kemerdekaan, British melepaskan Pulau Pinang melalui surat penyerahan semula kepada orang tempatan (penduduk Pulau Pinang) dan menjadikan gabenor sebagai ketua mereka.

Sejarah yang terjadi sebelum Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu (PPTM) 1948, PPTM 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963 tidak boleh berlaku semula dan akan kekal menjadi kisah lampau.

Sebelum ini, ada pihak cuba mengangkat komunis sebagai pejuang kemerdekaan negara. Mereka dakwa kumpulan itu turut berlawan menentang penjajah British dan Jepun. Sebagai pakar sejarah, apakah dakwaan ini boleh diterima pakai?
Saya rasa, komunis menentang British kerana mereka mahu menjajah kita. Oleh sebab itu, mereka cuba menghalau British dan bekerjasama dengan orang Melayu tempatan. Namun, jika sejarahnya dibaca, komunis ada agenda sendiri iaitu mahu menjadikan Malaysia sebagai jajahan takluk China. Mereka berjuang untuk mendapatkan Tanah Melayu sebagai jajahan China.

Bagi saya, dakwaan itu bermaksud mereka tidak mengkaji sejarah sepenuhnya atau secara menyeluruh kerana agenda komunis ini merupakan agenda dunia dan bukannya agenda lokal. Komunis merupakan agenda dunia dan dilaksanakan melalui peperangan dan dapat menubuhkan beberapa kerajaan komunis. I

a bermula dari Rusia, China, Vietnam dan mereka mencuba mendapatkan Tanah Melayu, Singapura, namun gagal dan juga Indonesia yang kemudiannya ditumbangkan oleh Soekarno.

Justeru, ia bukan agenda main-main.

Kemerdekaan tahun ini juga membuktikan masyarakat majmuk di Malaysia mampu hidup harmoni dalam tempoh 66 tahun. Ulasan Prof.?
Ya, memang kita mampu hidup harmoni kerana negara tidak mempunyai masalah.

Cumanya, apabila terlalu banyak berpolitik, kerajaan jatuh bangun, maka ini menyebabkan kerajaan tidak stabil, menjejaskan ekonomi dan keharmonian kita turut terjejas.

Saya harap kerajaan yang sedia ada ini mampu menjaga keamanan negara. Apabila seseorang itu naik menjadi pemimpin, mereka sudah tentu akan dikecam dan sebagainya dan bagi saya ini merupakan perkara biasa.

Namun saya harap agar ini tidak berlaku kerana perkara-perkara sebegini akan menjejaskan rakyat, sebagai contoh ketiadaan pelaburan dan sebagainya.

Ada segelintir mendakwa, kekuasaan bangsa Melayu sebagai penduduk asal tanah ini semakin terancam apabila kerajaan dibentuk bersama parti yang selama ini dianggap menentang ketuanan Melayu. Sentimen itu terus ditiupkan dalam media sosial sehingga membibitkan perpecahan. Adakah dakwaan itu berasas atau hanya mainan politik semata-mata?
Dari segi perlembagaan, kita sudah ada protection yang menyatakan kita menjaga Raja-Raja Melayu, tanah simpanan Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan sebagainya, jadi apa yang menjadi masalah? Dalam perlembagaan, hanya Melayu yang ada protection.

Ketika DAP memerintah negara selama 22 bulan, UMNO menarik diri daripada PN dan kerajaan Tun Dr. Mahathir jatuh. Soal ketirisan hak Melayu ini tidak berlaku sebenarnya dan itu semua adalah momokan sahaja.

Ketuanan Melayu ini masih pada raja dan Agong yang merupakan Raja Melayu dan baginda yang memegang ketuanan di sini, bukannya rakyat. Bagi saya, kita perlu berfikir dengan cerdik dan jangan gunakan emosi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN