fbpx
OPERASI di lokasi nahas pesawat ringan di Persiaran Elmina, Shah Alam kali ini merupakan operasi paling beremosi yang dilakukan pihak APM. – IHSAN APM

Nahas Elmina: ‘Setiap langkah jumpa cebisan mayat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tugas di lokasi pesawat terhempas di Persia­ran Elmina, Shah Alam, dekat sini pada Khamis lalu adalah merupakan operasi paling beremosi yang dilakukan oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Pegawai APM Petaling, Lefte­nan Muda (PA), Rahimi Roslan berkata, hampir keseluruhan kawasan rumput di lokasi nahas itu dipenuhi dengan cebisan mayat.

Beliau merupakan antara pasukan APM yang terawal tiba setelah menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.59 petang.

“Ini pengalaman pertama saya perlu kutip cebisan daging dan tulang. Dengan bau hangit dan bau mayat. Sebelum ini kalau kemalangan kenderaan pun kea­daan mangsa masih lengkap.

“Masa kutip itu perasaan tidak boleh digambarkan tetapi memang sangat sayu dan sedih. Tetapi kerana tugasan dan kami pun sudah dilatih, kami gagahkan juga.

“Hampir seluruh kawasan rumput penuh dengan cebisan mayat. Setiap langkah memang akan terjumpa (cebisan mayat). Pengalaman yang saya takkan boleh lupakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad kelmarin.

PIHAK APM turut membantu di lokasi nahas pesawat ringan di Persiaran Elmina, Shah Alam untuk mengesan cebisan mayat mangsa. – IHSAN APM

Menceritakan pengalamannya, Rahimi berkata, beliau tidak menyangka nahas itu telah me­ngorbankan seramai 10 nyawa termasuk dua orang awam.

Ketika tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 3.40 petang bersama 12 anggota APM lain, dia melihat beberapa ahli keluarga mangsa tiba dalam keadaan sedih dan sayu.

“Bila tahu seramai 10 mangsa terlibat, saya jadi sedih. Tak sangka seramai ini. Tapi kami anggota penyelamat perlu terus kuat untuk jalankan operasi.

“Hari pertama kami tidak dapat kebenaran polis lagi untuk masuk ke lokasi pesawat terbakar itu. Disebabkan malam, pencahayaan kurang, operasi disambung keesokan harinya.

“Jadi malam itu saya balik pada pukul 8 malam dan bertukar syif dengan anggota lain. Hari kedua, saya tiba di lokasi pada pukul 9 pagi, diberi taklimat dahulu sebelum memulakan operasi,” katanya.

Dengan cuaca panas dan bahang kebakaran daripada pesawat tersebut, Rahimi yang berusia 26 tahun itu berkata, saat paling mencabar adalah memastikan setiap cebisan daging mayat dapat terkutip.

ANTARA serpihan pesawat yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam kelmarin. – SHIDDIEQIIN ZON

Ujarnya, operasi tersebut me­rupakan pengalaman pertama­nya mengutip cebisan mayat sejak mula bertugas pada 2021.

Seorang lagi Pegawai Perhubungan Awam dan Dokumentasi APM Selangor, Leftenan Muda (PA) Suzaini Sulaiman, turut terlibat sama dalam ope­rasi mencari mayat mangsa nahas pesawat terhempas itu.

Ujarnya, dalam operasi hari kedua, antara barangan peribadi tidak boleh dilupakan adalah tanda pangkat juruterbang yang ditemui dalam keadaan baik.

“Sesi pertama operasi terbahagi kepada dua bahagian iaitu pencarian barang peribadi dan ‘human remains’ seperti sisa-sisa kulit dan daging.

“Memang mencabar nak kutip cebisan-cebisan daging itu, namun petunjuk jelas apabila terhidu bau daging hangit dekat rumput dan ada serangga seperti lalat juga. Itu maksudnya ada serpihan daging.

“Antara barang peribadi lain saya tak dapat lupakan juga adalah selimut yang berlumuran darah dan daging, tangki oksigen, butang-butang baju, buku log pesawat dan lain-lain,” katanya.

Mengakui itu pengalaman pertama melibatkan nahas pesawat terhempas, dia tidak dapat mengawal kesedihan ketika operasi.

Bagaimanapun Suzaini yang mula bertugas sejak 2017 tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk terlibat sama membantu.

“Memang terkejut kejadian sebegini berlaku di negara kita. Selalunya luar negara. Kejadian ini jarang berlaku, semangat saya sebagai anggota penyelamat tetap berkobar-kobar,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN