DISANGKA hanya beraksi ‘daring’ gara-gara isu berkemban dalam filem Sumpahan Jerunei, hakikatnya watak pegawai pemuliharaan warisan bernama Bee membongkar sisi lasak Uqasha Senrose, sekali gus menyerlahkan kemampuan lakonannya yang bukan sekadar selesa dalam zon cantik atau romantik.
Setiap naskhah sama ada drama mahu pun filem memberi cabaran berbeza buat Uqasha Senrose, namun Sumpahan Jerunei yang kini menemui penonton di pawagam menyuntik kepuasan paling ketara.
Watak pegawai pemuliharaan warisan bernama Bee mungkin tampak biasa di mata orang lain, namun bagi aktres jelita itu, karakter digalas menyerlahkan sisi beraninya.
Andai selama ini khalayak belum dapat melihat kemampuan sebenarnya, akui Uqasha, filem arahan Jason Chong itu sebagai bukti keupayaannya menyahut cabaran beraksi lasak.
“Walaupun empat tahun sudah berlalu di mana penggambaran berlangsung sebelum fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lagi, semua pengalaman berkampung di Sarawak masih segar dalam ingatan.
“Selama 45 hari kami menjalani penggambaran di Mukah dan Kuching, malah pada hari pertama lagi saya sudah kena melakukan aksi terjun dalam sungai yang menjadi tempat saliran kumbahan penduduk sekitar.
“Mulanya saya sangka pengarah bergurau, tetapi apabila beberapa kali disuruh, saya buat juga biarpun mengalir air mata selepas adegan tersebut,” kongsinya sambil tertawa kecil.

Bukti kemampuan diri
Selain babak terjun ke dalam sungai kotor, pengalaman diikat pada sebatang pokok juga antara perkara meninggalkan kesan terhadap dirinya.
“Apabila membaca skrip, saya memang sudah jangka akan ada banyak adegan sukar, namun saya cabar diri untuk buat sendiri adegan itu.
“Apabila dikenangkan kembali pengalaman sepanjang menjayakan karya berkisar kisah benar ini, saya turut tidak menyangka mampu menggalas watak ini dengan baik.
“Semuanya dapat disempurnakan hasil kerjasama pelakon lain yang nyata lebih berpengalaman serta kebebasan diberikan pengarah sendiri,” tambah pelakon berusia 31 tahun itu lagi.
Selain Uqasha, Sumpahan Jerunei yang ditayangkan di pawagam sejak 27 Julai lalu turut dibarisi Bront Palarea, Amerul Affendi, Syafie Naswip, Tony Eusoff, Ruminah Sidek dan Daiyan Trisha.
Mengakui tidak menghiraukan kesan lebam atau kegatalan kulit impak berada di hutan dan melakukan babak lasak, situasi tersebut hanya membuatkannya lebih bersemangat.
“Sebelum ini mungkin orang sangka saya lembut atau tidak mungkin mampu dapat galas peranan yang membabitkan emosi dan fizikal, tapi sekarang saya dapat buktikan keupayaan sendiri.
“Jadi memang kena tonton filem ini kerana babak mengejutkan dan aksi tidak dijangka berturut-turut muncul membuatkan jantung berdegup kencang,” tambahnya lagi mengenai filem terbitan Produksi Seni 2020 itu lagi.
Pada masa sama, dalam filem yang mengaut RM1 juta selepas empat hari tayangan tersebut, Uqasha turut menegaskan penampilan berkemban dan memeluk pelakon Amerul dilakukan demi tuntutan watak.

Bukan babak ‘daring’
Bagi isteri kepada pelakon Kamal Adli itu, adegan yang bukan ‘daring’ itu juga bukan sesuatu yang perlu dijadikan kayu ukur tentang dirinya.
Apatah lagi naskhah tersebut juga dilakonkan ketika belum berstatus isteri orang.
Tegasnya lagi, perkara berkenaan tidak seharusnya menjadi isu memandang kedua-dua adegan tersebut penting bagi menghidupkan jalan cerita karya mistik tersebut.
“Dua babak ini memang keperluan skrip yang mencantikkan perjalanan kisah, watak, plot dan skrip, namun ada beberapa adegan berkaitan dipotong.
“Ketika itu saya belum mendirikan rumah tangga dan masih dalam fasa berkawan dengan Kamal, jadi memang tidak terikat dengan sesiapa.
“Saya pula pantang dicabar yang membuatkan saya menyahut cabaran termasuk melakukan aksi berbahaya, itu pun sebenarnya bukan babak ‘daring’,” kongsinya lagi.
Akui Uqasha juga, sejak awal lagi dia menyedari babak tersebut bakal mengundang kontroversi andai dinilai tanpa menonton keseluruhan cerita.
Malah kata pemilik nama penuh Nik Zaris Uqasha Nik Sen itu, apabila telah mendirikan rumah tangga, dia menggariskan had tertentu berhubung watak mahu pun adegan yang bakal digalas dalam sesebuah naskah.
“Seiring masa dan status sebagai isteri saya akan menjaga batasan. Apabila sudah berkahwin, memang berbeza batasnya,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Kamal yang juga pelakon pada 5 November 2021.

Anak
Mengulas isu sindiran netizen mengenai zuriat yang belum turun ke pangkuannya, Uqasha mengakui sedikit terkilan apabila ada individu turut mengheret adik-beradik iaitu Nelydia Senrose dan Raysha Rizrose.
Tidak tahu apa motif sebenar individu berkenaan berbuat demikian, Uqasha lebih selesa enggan menghiraukan sindiran seumpama itu.
“Sebenarnya saya tak terasa bila dia bercakap tentang saya, tetapi kalau kaitkan adik-beradik, memang sudah melampau.
“Lagi pun saya baru berkahwin dan mahu fokus pada kerjaya dahulu. Kalau ada anak, saya risau tak boleh beri komitmen pada kerja.
“Individu biadab itu juga sudah sekat saya dahulu sebelum saya dapat tahu.
“Saya juga tak mahu layan lagi dakwaan mengarutnya,” ulasnya seraya mengakhiri perbualan.
















