BAITULMUQADDIS – Perunding veteran Palestin, Saeb Erekat meninggal dunia pada usia 65 tahun kelmarin akibat komplikasi koronavirus.
Saeb merupakan ‘arkitek’ yang cuba menamatkan konflik dengan Israel melalui penubuhan negara Palestin bebas.
Presiden Palestin, Mahmud Abbas menyifatkan beliau hilang seorang abang dan rakan dengan berita itu serta ‘kehilangan besar untuk Palestin dan rakyatnya’.
Abbas mengisytiharkan tiga hari berkabung untuk Saeb yang juga merupakan Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).
Saeb, seorang penerima transplan peparu yang pernah menderita akibat fibrosis pulmonari, terkena jangkitan koronavirus dan dimasukkan ke unit rawatan rapi Hospital Hadassah Ein Kerem di barat Baitulmuqaddis pada bulan lalu.
“Dukacita, keadaan beliau tidak bertambah baik dan kekal kritikal dan meninggal dunia kerana kegagalan pelbagai sistem (organ),” menurut pihak hospital itu.
Jenazah Saeb sudah dibawa ke Ramallah dan satu majlis pengebumian diadakan di pekarangan kediaman presiden.
Saeb lahir di Baitulmuqaddis pada 1955 sebelum berpindah dan menetap di Jericho. Beliau menghabiskan sebahagian hidupnya untuk mencari satu resolusi damai dalam konflik Palestin-Israel. – AFP














