fbpx
MUSE menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil menerusi konsert Muse: Will Of The People World Tour Sabtu lalu.

Muse simbolik perjuangan melawan ‘kuku besi’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEHEBATAN Muse ketika beraksi di Stadium Nasional Bukil Jalil bersempena konsert Muse: Will Of The People World Tour 2023 boleh diibaratkan seperti letusan gunung berapi yang mengalirkan lava menyuburkan bumi.

Muse yang setia dianggotai Matt Bellamy, Chris Wolstenholme dan Dominic Howard memberikan persembahan 100 peratus cemerlang dengan kawalan pentas tidak tercela, nuansa vokal Matt berada pada landasan tersendiri, permainan muzik luar biasa dan pelbagai perihal yang mengagumkan.

Berdurasi dua jam, Muse: Will Of The People World Tour 2023 anjuran Hello Universe boleh disifatkan antara persembahan atau konsert terbaik yang pernah dihadiri penulis tahun ini. 

Itu serangkap ungkapan jujur usai Muse menutup persembahan.

Biarpun kebanjiran penonton tidak berstatus full house dan dihadiri sekitar 53,000 penonton (kapasiti stadium berkapasiti 85,000 orang), fakta sedemikian bukan penghalang untuk kumpulan asal England itu memberikan persembahan mega pada skala terbaik.

‘Lambat panas’ 

Sedikit membuatkan audiens termanggu-manggu, Muse hanya memulakan persembahan sekitar pukul 9.25 malam. 

Mengapa? Entahlah. Ada yang beranggapan berlaku sedikit kelewatan jadual penerbangan mereka dari Langkawi ke Kuala Lumpur berpunca daripada faktor teknikal dan penjadualan.

Kendatipun, semua itu tidak mengapa kerana dalam fikiran peminat, kumpulan yang sudah dua kali mengungguli Anugerah Grammy dengan trofi Album Rock Terbaik (2016) menerusi Drones dan The Resistance (2011), sememangnya terkenal dengan kemenjadian di atas pentas.

KONSERT Muse: Will Of The People World Tour di Bukit Jalil dihadiri lebih 53,000 lautan manusia sekali gus merupakan persembahan dengan jumlah audiens antara terbesar di Malaysia setakat 2023.

Bahang kehangatan pentas dimulakan dengan lagu berjudul Will of The People yang menjadi tajuk konsert jelajah mereka. 

Bertopeng rona perak memancar dan membawa semangat perjuangan menentang opresi, lagu tersebut yang merupakan ciptaan sepenuhnya Matt Bellamy dipetik daripada album tahun lalu cocok dijadikan introduksi persembahan.

“Selamat petang, semua,” demikian kata Matt atau nama sebenarnya Matthew James Bellamy menyapa lautan manusia usai menyanyikan beberapa lagu.

Di bangku audiens, kebanyakan penonton yang hadir seperti sudah hilang kewarasan melihat idola mereka beraksi, namun ternyata mereka masih cakna bahawa konsert itu sifatnya harus dinikmati dengan penuh rasa manusiawi.

Muzik keras, namun bermakna

Muzik Muse adakalanya kedengaran keras dengan nukilan lirik yang pelbagai, namun itu bukan alasan penonton yang kebanyakan datang daripada generasi Y untuk alpa dengan kebebasan yang diberikan kerajaan untuk berhibur.

Buat penjunjung band tersebut, mereka memang terkenal dengan semangat menolak kuku besi dan sebarang bentuk penindasan yang dicernakan menerusi magis atau kuasa muzik.

Di satu sudut, terlihat juga kelibat seorang lelaki sedang berada dalam ‘dunia sendiri’ menikmati muzik Muse tanpa menghiraukan orang lain dengan penuh apresiasi, namun tidak melakukan tindak-tanduk sembarangan mencetuskan konflik.

KAWALAN pentas, nuansa vokal dan pemainan muzik Muse ketika mengadakan konsert di Malaysia malam Ahad lalu mendapat pujian ramai peminat di yang hadir.

Persembahan diteruskan dengan dendangan lagu Hysteria, Psycho dan Map of the Problematique sebelum beberapa lagu lain seperti Though Contagion, Won’t Stand Down dan Kill or Be Killed berkumandag, sekali gus menggemakan satu stadium.

Acapkali Matt menunjukkan ‘flex’ (bakat) melakukan petikan gitar yang sangat menderaskan adrenalin peminat. 

Keadaan di atas pentas berbahang dengan api yang dijadikan prop dramatik. Muse memang hebat walaupun usia sepertinya sudah mencemburui mereka.

Vokal, tenaga masih sama

Kulit sedikit berkedut menandakan mereka kian menua, namun itu tidak sedikitpun memudarkan energi, vokal dan tanda sayang peminat terhadap Muse yang sempat ‘berehat’ bersama keluarga masing-masing di pulau peranginan popular, Langkawi sebelum persembahan.

“Terima kasih. Kalian kedengaran hebat (menyanyi bersama),” ujar Matt, 45, yang turut mendendangkan lagu hits seperti Time Is Running Out, Supermassive Black Hole dan Plug In Baby.

Band ternama tersebut turut memainkan lagu underrated (kurang popular) seperti Compliance, Madness dan You Make Me Feel Like It’s Halloween.

Berdasarkan pengamatan penulis, walaupun ada beberapa trek disifatkan ekstrem dengan judul yang tidak wajar disebutkan, Muse kekal menghormati norma dan budaya sopan negara ini.

Selain menghadirkan persembahan berkelas dunia, Muse juga dipuji ramai kerana tidak menggunakan sebarang perkataan lucah dan perbuatan sumbang di atas pentas bumi Malaysia tempoh hari.

Tidak seperti segelintir band ‘mat salih’ yang berkunjung ke tanah ini, kononnya ingin menjadi hero dengan melahirkan tindakan yang sudah terang-terang salah, Muse berada pada paksi tersendiri, mereka orang lama yang berbeza dengan kugiran lain ang mentah. 

Tidak ada kata-kata lucah atau perbuatan sumbang di atas pentas. Yang ada cuma sebuah band yang sangat menghargai muzik dan ingin menterjemahkan persembahan dengan sebaik mungkin. Hasilnya, semuanya terlaksana dengan cukup terhormat.

Saat dua lagu keramat iaitu Uprising dan Starlight dimainkan, itu petanda persembahan sudah sampai ke kemuncak. Semakin menghampiri klimaks, gema nyanyian peminat mengiringi setiap dendangan Muse semakin hebat. Merinding dan menggelegak!

Ada yang erat berpelukan, ada ‘berkaca’ mata barangkali mengenang nostalgia muda-muda dan tidak kurang juga yang melompat-lompat memberi makna bahawa persembahan berjalan dengan sebaik-baik ‘kejadian’.

Di situ, tercatat satu lagi ukiran sejarah sebuah konsert band ulung global sebagai peneman kelompok generasi Y yang semakin menginjak usia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN