fbpx
Maszlee bercakap pada sidang akhbar khas Gerakan #Untuk Malaysia di Perdana Lakeview, Cyberjaya di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

Maszlee gerakkan Untuk Malaysia bagi selesai isu pendidikan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CYBERJAYA – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik melancarkan satu gerakan pendidikan dikenali Untuk Malaysia khusus menyelesaikan isu-isu pendidikan yang berlegar dalam masyarakat buat masa ini.

Maszlee berkata, Untuk Malaysia terbuka kepada semua tanpa mengira latar belakang merentasi idealogi politik, kepartian, bangsa dan kelas ekonomi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, pihaknya memerlukan lebih ramai sukarelawan dan penggerak untuk bersama-sama menyemarakkan gerakan ini.

“Kami perlu lebih banyak teman dari syarikat swasta dan korporat untuk turut sama berganding bahu dalam gerakan ini.

“Sebuah laman web, untukmalaysia.my juga akan dilancarkan di mana ia akan menjadi platform rujukan bagi sesiapa yang memerlukan bantuan berkaitan pendidikan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, individu yang ingin menyumbang sebarang bantuan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut di laman web berkenaan.

Maszlee berkata, laman web itu juga berfungsi sebagai platform untuk rakyat Malaysia yang cintakan pendidikan berinteraksi, membuat crowdfunding (pendanaan ramai), meminta pertolongan, menjadi sukarelawan dan berbahas mengenai isu-isu pendidikan.

“Sertai saya, kita gerakkan isu pendidikan. Kita baiki mana yang perlu dibaiki. Kita bantu mana yang perlu dibantu. Kita bina mana yang jatuh dan sudah pecah.

“Semuanya kita boleh usahakan melalui tangan dan titik peluh kita secara bersama,” katanya.

Katanya, gerakan itu dilancarkan memandangkan dunia pendidikan kini berdepan cabaran getir kerana masih ada sekolah daif di Sabah dan Sarawak serta masih ada anak-anak yang tidak mampu bersekolah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN