fbpx
Amin menunjukkan sebahagian daripada menu yang dihidangkan di restoran Kedey Kamek di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kedey Kamek ubati kerinduan selera perantau nikmati makanan autentik Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Semangat cinta yang mendalam terhadap negeri Sarawak telah membuatkan seorang usahawan muda begitu membuak untuk mempopularkan makanan dan minuman autentik negeri Bumi Kenyalang itu melalui pembukaan restoran Kedey Kamek

Lebih mengujakan, Pengasas syarikat AnakMiri Kitchen Sdn. Bhd., Amin Aznizan telah mendapat tunjuk ajar daripada enam orang saudara terdekatnya yang dipanggil nenek mengenai resipi dan cara memasak juadah tradisional turun-temurun keluarga besar mereka.

“Bila saya menyuarakan hasrat untuk membuka restoran menjual makanan tradisional Sarawak, mereka begitu berbesar hati mengajar saya memasak laksa Sarawak, mi kolok dan pelbagai jenis sambal lain yang menjadi hidangan kegemaran kami sejak dahulu lagi.

“Sejak kecil, inilah hidangan kami sekeluarga dan apa yang saya makan di rumah, maka inilah menu yang saya bawa di Kedey Kamek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di restoran Kedey Kamek di Sunway Putra Mall di sini baru-baru ini.

Amin yang dibesarkan dalam keluarga yang terlibat dalam perniagaan minyak dan gas itu juga telah mendapat sokongan yang baik daripada ibu bapanya malah mereka memberi dorongan dengan membuat tempahan makanan untuk majlis yang diadakan oleh syarikat induk atau daripada rakan niaga mereka.

“Saya mahu lari daripada ‘bayangan’ perniagaan bapa dan membuat percaturan sendiri terhadap bisnes yang dibangunkan dengan cara saya sendiri.

“Saya membuat perancangan membuka perniagaan ini secara senyap tanpa pengetahuan bapa, saya bayangkan mereka akan memarahi kerana menceburi bidang lain daripada empayar yang mereka bangunkan. Tetapi ter­nyata mereka memberi restu atas usaha saya ini.

“Dengan bermodalkan wang simpanan RM10,000 saya memulakan perniagaan restoran pertama di Kuching yang mana segala-galanya bermula daripada kosong sehingga terpaksa membuat kerusi meja daripada palet untuk menjimatkan peruntukan yang terhad.

“Hari pertama ia dibuka, sambutan yang diterima amat menggalakkan tetapi pada suku pertama tahun ini, restoran tersebut terpaksa ditutup bagi memberi tumpuan kepada cawangan di Lembah Klang,” jelasnya.

Anak kelahiran Miri, Sarawak yang berusia 34 tahun itu berbangga kerana usahanya sekarang menampakkan hasil kerana menu makanan dan minuman tradisional itu berjaya menambat hati pelanggan bukan sahaja perantau yang tinggal di sekitar Lembah Klang, malah juga pelbagai bangsa dan agama.

Bersandarkan permintaan yang baik itu, syarikat telah membuka cawangan di Taman Tun Dr. Ismail dan juga di pusat beli-belah Lalaport.

Amin kini memiliki pasukan yang komited dan saling membantu untuk menjayakan misi­nya mengetengahkan menu makanan negeri Sarawak kepada pelanggan domestik dan juga dari luar negara.

Petua masakan, rempah, herba dan bahan mentah yang digunakan oleh nenek-nenek yang mengajarnya ketika mengolah menu pada peringkat awal sebelum ini diguna pakai sehingga kini bagi membolehkan Kedey Kamek menawarkan menu yang lazat, berkonsepkan premium tetapi dijual pada harga menarik.

Harga pelbagai menunya adalah daripada serendah RM7 hingga RM70 yang mana harga tersebut melibatkan hidangan laksa Sarawak bersama udang galah.

Lebih menarik, syarikat turut menawarkan harga promosi se­rendah RM4.90 pada setiap hari Khamis untuk salah satu menu popularnya.

Amin menerangkan, Kedey Kamek popular dengan menu mi kolok dengan pelbagai pilihan, mi jawa, laksa Sarawak yang ditawarkan dengan pilihan udang galah atau laksa Sarawak bersama udang harimau, siput buluh, kerang serta udang.

Terdapat juga nasi ayam pansuh, ayam penyet dengan sambal yang enak.

Turut di­hi­dangkan adalah umai dan juga linut yang dimakan bersama sambal belacan atau linut ikan terubuk. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN