BEKAS pesara Pegawai Khas Keselamatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) atau ‘bodyguard’ yang kelihatan garang dan bertubuh sasa semasa bertugas mengiringi Naib Canselor seperti Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar dan Tan Sri Ibrahim Abu Shah, kini berubah angin menanam orkid sebagai hobi baharu setelah bersara.
Menurut Mohd. Shafie Jemiran, 68, dari Kampung Delek, Klang, Selangor, walaupun ada yang menganggapnya sebagai lelaki gagah yang ‘dalam hati ada taman’, dia hanya memekakkan telinga meneruskan minatnya menanam pokok bunga orkid pelbagai spesies.
“Saya mula menanam orkid secara aktif selepas isteri saya Sainah Johari, 66, sudah kurang berminat menjaga beberapa pokok bunga itu yang ada di rumah.
“Saya sebelum ini menjaga orang-orang besar sebagai pengawal peribadi dan diberi tanggungjawab memastikan keselamatan mereka. Kini saya berubah 360 darjah menanam dan menjadi ‘pengawal peribadi’ kepada bunga orkid pula,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Delek.
Mohd. Shafie yang juga pernah menjadi jurulatih tarik tali di UiTM berkata, selepas bersara wajib pada usia 60 tahun, dia menyambung pula tugas berkhidmat sebagai Pengawal Peribadi Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Faizal Abdullah untuk beberapa tahun.
Katanya lagi, setelah tidak lagi berkhidmat, dia meneruskan aktiviti menjaga dan menanam orkid sebagai riadah selain terapi diri selepas sekian lama bekerja dalam bidang yang penuh risiko keselamatan.
“Apabila kita menjaga pokok bunga orkid, ia seperti menjaga orang besar juga. Semasa bertugas menjaga orang kenamaan saya sentiasa memastikan tiada elemen yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa majikan saya.
“Namun, apabila kita menjaga bunga orkid pula, ia melibatkan ‘keselamatan’ pokok orkid daripada serangan semut-semut hitam yang menjadi punca ia tidak boleh berbunga,” ujarnya.
Minat Mohd. Shafie yang bercambah terhadap orkid telah menyebabkan dirinya menanam lebih banyak orkid di rumahnya sehingga memenuhi luar rumahnya.
Katanya, sebagai ‘bodyguard’ dahulu, dia perlu sentiasa memantau dan peka dengan keadaan persekitaran selain meminimumkan percakapan, tetapi dalam soal menanam pokok orkid ia perkara berbeza.
Tambahnya, petua pelik yang dipraktikkanya adalah berbual dan ‘memujuk’ pokok-pokok orkid yang telah lama ditanam supaya mula berbunga.
“Anak perempuan saya pun pelik melihat gelagat saya tetapi sekarang dia faham itulah juga cara ayahnya melepaskan stres setelah lama menjadi pengawal peribadi yang menjaga nyawa dan kselamatan orang kenamaan.
“Bukan mudah menanam pokok orkid. Itulah sebabnya orkid jenis Mokara, Dendro, Belina dan Oncidium ini saya tidak akan jual, kerana ia tidak ternilai harganya dan mempunyai nilai sentimental kepada saya,” ujarnya.
Kongsinya, tiada jalan mudah untuk menanam orkid kerana ia rumit serta memerlukan ilmu dan komitmen yang tinggi.
Ujar Mohd. Shafie, dia bersedia menunjuk ajar pihak yang berminat menanam orkid, namun untuk menjualnya masih belum sampai masanya lagi.