PETALING JAYA – Minyak pengasih yang sebelum ini hanya boleh diperoleh daripada bomoh dan pengamal perubatan alternatif kini dijual secara berleluasa menerusi media sosial sehingga mendapat permintaan tinggi.
Keghairahan orang ramai membeli minyak pengasih itu didorong oleh pelbagai faktor termasuklah mereka yang berdepan masalah cinta, sukar mendapat jodoh dan keinginan untuk memikat hati seseorang.
Malah, minyak tersebut yang tidak dipastikan isi kandungan dan sumbernya itu turut digunakan oleh sesetengah pihak sebagai pelaris perniagaan, merawat sihir, memudahkan proses temu duga serta mengeratkan hubungan antara suami isteri yang semakin renggang.
Tinjauan Kosmo! Ahad mendapati, rata-rata penjual minyak pengasih di media sosial seperti TikTok, Facebook dan platform e-dagang mampu mengaut keuntungan lumayan hasil jualan yang mencecah ratusan botol hanya dalam tempoh sebulan.
Bagi menyakinkan pelanggan, ada penjual yang mendakwa minyak pengasih tersebut lebih kuat dan berkesan selain diperbuat daripada bahan-bahan yang suci dan bersih, berbeza dengan minyak dagu, cenuai atau senyoyong yang terang-terangan berunsur sihir.
Harga yang ditetapkan bagi setiap botol juga adalah antara RM35 hingga RM150.
Hasil tinjauan turut mendedahkan kebanyakan pembeli minyak pengasih merupakan wanita yang ingin mendapatkan perhatian daripada suami atau mereka yang sedang bermasalah dalam percintaan.
Seorang penjual minyak pengasih dikenali Iman berkata, dia sendiri tidak menang tangan untuk menguruskan penghantaran minyak pengasih yang ditempah pelanggannya setiap hari.
“Bayangkan, dalam sebulan saya mampu menjual kira-kira 500 botol minyak pengasih.
“Bahan yang saya gunakan adalah halal dan sebab itu ramai pelanggan percaya dan yakin untuk membeli,” dakwanya.
Seorang wanita yang mahu dikenali Amirah, 28, pula mengakui telah menggunakan minyak pengasih untuk menarik minat rakan sekerja yang sudah lama diminati.
“Baru tiga hari guna, saya sudah lihat kesannya. Kini, si dia sering menegur saya di pejabat dan hubungan kami semakin hari semakin akrab.
“Saya berharap, kesan minyak ini berpanjangan. Besar harapan saya agar kami dapat disatukan satu hari nanti,” katanya.
Seorang lagi pembeli yang mahu dikenali sebagai Hana, 32, berkata, dia pernah menggunakan minyak pengasih untuk tujuan menaikkan seri wajah dan mempercepatkan jodoh.
“Sejak menggunakan minyak ini, saya rasa lebih yakin dan semakin fokus ketika melakukan pekerjaan. Kepala pula rasa lebih ringan. Orang di sekeliling juga mudah mesra dengan saya,” katanya.
Bagaimanapun, bagi seorang pengguna, Suraya, 36, dia mengakui minyak pengasih yang dijual di pasaran bukan sahaja tidak berkesan, malah mempunyai bau yang sangat teruk.
“Saya telah membelanjakan hampir RM100 untuk membeli sebotol minyak pengasih secara online kononnya agar bekas kekasih kembali kepada saya.
“Namun, semua itu tidak berlaku, malah saya rasa seperti tertipu,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pengamal perubatan Islam dikenali Ustaz Hanafi mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan penjualan minyak pengasih di media sosial.
Katanya, minyak pengasih yang sebenar diperbuat daripada benda-benda yang kotor dan sukar untuk diperoleh seperti dagu atau organ dalaman mayat yang dilayur atas api.
“Bukan semua jenis mayat boleh diguna pakai untuk tujuan sihir. Kadang kala, pelaku ilmu hitam akan mendapatkan mayat orang yang mati dibunuh atau wanita yang meninggal dunia ketika melahirkan anak sulung.
“Mereka juga akan melakukan ritual tertentu sambil membakar dagu atau organ mayat tersebut sebelum dijadikan minyak.
Tambah Ustaz Hanafi, proses untuk membeli atau mendapatkan minyak pengasih juga bukanlah sesuatu yang mudah, menjadikan ia mustahil untuk dijual secara berleluasa di online.
“Sama seperti pemakaian susuk, mereka yang ingin memakai minyak pengasih perlu melalui ritual tertentu. Ada pantang larang yang perlu dipatuhi. Oleh itu, mereka perlu berurusan secara terus dengan bomoh atau pengamal ilmu hitam itu sendiri,” katanya lagi.














