GEORGE TOWN – Pasangan gila talak dikatakan sanggup melakukan perkara di luar kawalan sehingga ada yang mencangkung atau melutut sampai lewat pagi di luar rumah bekas isteri, manakala wanita pula bertindak menghantar kiriman suara berahi sebagai peneman tidur buat bekas suami.
Dalam temu bual Kosmo! dengan pasangan yang dikatakan pernah mengalami situasi ‘gila talak’ setelah bercerai mereka mendakwa, rasa kasih dan sayang terhadap pasangan kembali berputik sejurus talak dilafaz.
Bukan sahaja kaum Adam, wanita juga dikatakan turut punyai perasaan sama sebaik talak dijatuhkan ke atas mereka.
“Hati tiba-tiba jadi rindu, teringat sampai nak mati, hilang sudah teman bergaduh, asyik terbayang wajah pasangan dan tiada lagi peneman tidur.” Ini antara ungkapan yang kerap ‘bermain di bibir’ pasangan cerai terbabit.
Dakwa mereka, ‘gila talak’ terjadi tanpa dipinta iaitu boleh berlaku kurang tempoh 48 jam selepas penceraian atau sebaik amarah hati berubah sejuk, sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan sebaik pasangan tidak lagi tinggal sebumbung.
Seorang eksekutif pemasaran di sebuah syarikat swasta yang mahu dikenali sebagai Rania, 40, mendakwa, dia pernah berdepan dengan situasi gila talak apabila suaminya sanggup bermalam di luar pagar rumah termasuk menghendap dari luar tingkap bilik rumah flat.
Katanya, penceraian berlaku ketika usia perkahwinan mereka masih muda dan dikatakan berpunca akibat kurang persefahaman selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.
“Kurang 24 jam kami berpisah di mahkamah, kelibat suami mula dilihat di luar pagar rumah sampai lewat pagi. Dia hanya duduk dan sesekali ‘mengintip’ saya dari luar tingkap rumah.
“Pada masa sama, dia ada mesej untuk rujuk semula sebab tak boleh tinggal berasingan dan rasa sunyi tanpa saya dan anak. Ia berlarutan seminggu, dia hanya pulang ke rumah ibunya untuk mandi dan datang semula.
“Rasa marah di hati terus hilang apabila melihat suami berubah menjadi tidak keruan. Dia beratus kali hantar WhatsApp ajak bincang dan rujuk pada malam Jumaat. Tidak mahu keruhkan lagi keadaan, kami akhirnya memilih untuk bersama semula,” katanya.
Sementara itu, seorang pegawai kerajaan yang mahu dikenali sebagai Arsyad, 42, berkata, perpisahan dengan pasangan hanya mampu bertahan kurang sebulan sebaik melihat keadaan emosi isteri yang tidak stabil sehingga sanggup mengabaikan dua anak.
“Sebelum itu, isteri berkali-kali minta dicerai kerana mahu ikut kehendak keluarga dan tinggal bersama ibu bapa di kampung.
“Namun, sebaik sahaja kami berpisah tak sampai sebulan, dia pula yang tidak senang duduk selain emosi makin terganggu. Dia rakam suara berahi setiap malam untuk pujuk saya kembali.
Situasi ini berlarutan setiap malam selepas seminggu kami berpisah,” ujarnya.
Jelasnya, mereka akhirnya memutuskan untuk disatukan semula tahun lalu kerana tidak mahu menambah emosi atau gila talak yang dihadapi si isteri selain memikirkan masa depan anak-anak. -KOSMO! ONLINE
















