fbpx
PRODUK overclaim yang didakwa boleh merawat penyakit menjadi kesalahan di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan). – GAMBAR HIASAN

Rakyat Malaysia mudah tertipu produk ‘overclaim’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sikap mudah terpengaruh rakyat negara ini terhadap produk yang dipromosikan secara melam­pau (overclaim) termasuk ‘kopi kuat’ menyebabkan ia sentiasa mendapat permintaan di pasaran.

Pakar perubatan, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, minuman seper­ti ‘kopi kuat’ biasanya dimasukkan bahan se­perti sidenafil dalam dos tinggi supaya ia dapat memberikan kesan yang luar biasa.

“Apabila orang meminum ‘kopi kuat’ dan merasai kesannya yang begitu ketara, sudah tentulah mereka akan membeli produk itu berulang kali.

“Selain harganya mampu milik, produk sebegini juga mudah didapati secara dalam talian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sebarang minuman yang mengandungi bahan terlarang boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Racun 1952.

Selain itu, Dr. Suhazeli berkata, ramai orang yang terperdaya dengan produk overclaim ko­nonnya berkesan dalam merawat pelbagai jenis penyakit.

Jelas beliau, terdapat 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan sebagai tuntutan perubatan antaranya mati pucuk, kanser, kencing manis, tekanan darah tinggi dan gout.

“Jika ada produk yang mendakwa boleh merawat pe­nyakit-penyakit ini, ia adalah salah di sisi undang-undang dan boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.

“Jadi, jangan mudah percaya jika ada sesetengah kopi, jus atau jamu tertentu mendakwa boleh merawat pelbagai penyakit. Ada juga makanan yang dicampur bahan tertentu misalnya metfor­min yang dapat membantu me­nguruskan badan, tetapi ia tidak dicatatkan pada label produk.

“Sebab itu, banyak penjual yang berani overclaim dan mendakwa produk mereka boleh buat macam-macam sedangkan ia dicampur dengan bahan-bahan tertentu,” ujarnya.

Mengulas mengenai tindakan membanteras penjualan ‘kopi kuat’, Dr. Suhazeli berkata, perkara tersebut dibuat berdasarkan laporan yang diterima.

“Namun, kes sebegini sukar dibanteras kerana penjual guna alamat palsu dan berhubung melalui WhatsApp. Penghantaran juga guna kurier, jadi sukar nak cekup mereka,” katanya.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN