PETALING JAYA – Dengan membuat pelbagai kandungan menarik, terdapat pencipta kandungan TikTok berjaya menjana pendapatan lebih 10 kali ganda daripada gaji yang diperoleh di tempat kerja mereka, malah ada yang sanggup berhenti kerja.
Kebanyakan pencipta kandungan meraih pendapatan lumayan menerusi TikTok LIVE dengan memperoleh ‘hadiah’ daripada pengikut yang boleh ditebus menjadi wang ringgit selain bekerjasama dengan pelbagai jenama melalui tajaan berbayar.
Menyedari kelebihan platform itu, Suzieyana Hijau, 30, antara pencipta kandungan yang sanggup berhenti kerja sebagai anggota polis pada tahun 2021 bagi menumpukan sepenuh perhatian untuk berniaga di TikTok.
Pengusaha barangan kosmetik sejak 2020 itu berkata, dia dan suaminya kini boleh meraih pendapatan sehingga
Masa kami bekerja lagi, kami sudah mula berniaga sebab mahu naik taraf kehidupan, tambahan pula tinggal di Kuala Lumpur.
“Tetapi, kami susah nak fokus sebab buat dua benda dalam satu masa. Jadi, suami yang ketika itu penguat kuasa PBT (pihak berkuasa tempatan) telah berhenti kerja pada hujung 2020, diikuti dengan saya,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka melihat aplikasi TikTok mula naik dan dikenali ramai.
“Kami nampak betapa platform ini mempunyai kuasa yang sangat besar untuk mempengaruh orang ramai.
“Sekarang, pendapatan kami berkali-kali ganda lebih tinggi daripada gaji penjawat awam yang kami dapat dahulu, 360 darjah bertukar,” katanya.

Sehingga kini, akaun TikTok Suzieyana iaitu @suzzylovaa telah meraih 196,800 pengikut dan 4 juta tanda suka. Video-videonya juga meraih lebih 2.6 juta tontonan dan sering memasuki #ForYouPage untuk mengiklankan produk yang dijual.
Seorang guru, Nor Anis Idayu, 30, pula berkata, dia mula aktif sebagai pencipta kandungan sejak 2019 dengan meraih pendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
Dia yang lebih dikenali sebagai Cikgu Ayu memberitahu, sewaktu awal PKP lalu, dia menjadikan aktiviti bersosial secara dalam talian hanya untuk mengisi masa terluang di rumah.
“Tidak sangka, daripada suka-suka buat video post (muat naik) di TikTok, video mengajar, ia dapat sambutan yang baik.
“Daripada RMM1,000 sebulan, kini pendapatan bulanan yang saya peroleh hampir RM30,000 menerusi hasil paid review (kerjasama dengan jenama melalui tajaan), jualan produk serta kandungan perkongsian yang lain,” katanya.
Ujarnya, perbelanjaan bulanannya hanya menggunakan pendapatan sebagai pencipta kandungan dan gaji hakiki sebagai guru disimpan sepenuhnya.
Bagaimanapun, dia akan terus berkhidmat sebagai guru meskipun jurang perbezaan pendapatan yang diperoleh sangat berbeza.
“Saya akui, jadi cikgu, gaji saya sewaktu 2019 hingga sekarang, masih sama sekitar RM4,000 sebulan, berbeza dengan hasil sebagai pencipta kandungan, meningkat berkali ganda dalam tempoh sama.
“Namun, saya tak akan berhenti, sebab mengajar adalah kerja hakiki dan minat saya. Dengan menjadi pencipta kandungan, ia sekadar pendapatan sampingan. Buat masa sekarang berhenti bukan pilihan saya, tetapi di kemudian hari saya belum pasti,” ujarnya.
Sementara itu, pekerja swasta, Norazyani Noh, 27, mengakui kehidupan sebagai pencipta kandungan ketika ini lebih berbaloi daripada menjadi seorang pekerja di pejabat dengan makan gaji.
Kongsinya, dengan hasil membuat konten parodi serta menjual pakaian secara TikTok LIVE mendatangkan pulangan tiga kali ganda daripada gaji pereka grafik.
“Saya seorang pereka grafik gaji sebulan lingkungan RM3,500, dan jadi content creator ini saya boleh capai sasaran RM12,000 sebulan.
“Memang berbaloi jika kita pandai ambil peluang di platform media sosial yang sedia ada, sebab orang sekarang semua main media sosial, berbelanja, pun guna media sosial, berhibur pun di media sosial.
“Cuma kita kena kreatif hasilkan kandungan untuk tarik minat penonton, jangan buat apa yang dah ada, orang akan bosan dan pada masa sama, saingan tinggi, jadi konten kita kena berbeza,” pesannya.














