Industri gubahan bunga dan cenderahati meskipun kelihatan kecil penguasaan pasarannya di negara ini tetapi ia menawarkan nilai dan potensi tinggi.
Segmen tersebut menjadi penting dan menerima tempahan tinggi apabila tiba musim sambutan hari istimewa untuk menghargai dan menunjukkan rasa kasih sayang terhadap insan istimewa.
Menyedari peluang tersebut, BloomThis yang diasaskan pada tahun 2015 membangunkan platform e-dagang untuk menawarkan cenderahati, jambangan bunga, makanan gourmet, tumbuhan hidup dan hadiah unik untuk para pelanggannya membuat tempahan bila-bila masa mengikut keperluan cita rasa dan bajet masing-masing.
Pengasas bersama dan Pengarah Urusan BloomThis, Penny Choo berkata, trend pilihan gubahan bunga bagi tahun 2023 adalah segmen bunga bergaya minimalis dan juga elegan.
“Kami sentiasa mengemas kini produk untuk memastikan ia selaras dengan trend semasa dan memenuhi kehendak pelanggan,” katanya dalam satu temu bual bersama Kosmo! di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

KOSMO!: Menjelang sambutan Hari Bapa pada bulan ini, apa persediaan syarikat dan bagaimana pula dengan sambutan hari istimewa yang lain?
Penny Choo: Agak sedih juga bila sambutan Hari Bapa tidak semeriah sambutan Hari Ibu dan juga Hari Valentine.
Tempahan ada tetapi ia berbeza sedikit konsepnya kerana kami menawarkan hadiah berupa kek, coklat dan makanan lain seperti bertih jagung bersesuaian dengan sifat seorang bapa.
Berbeza dengan Hari Ibu pada tahun ini, tempahan yang diterima pada hari kemuncak adalah sehingga 2,000 unit dan ini adalah angka tertinggi yang pernah dicatat oleh syarikat.
Berbanding tempoh pandemik, tempahan yang diterima pada hari tersebut adalah sekitar 1,000 sahaja. Hari Valentine juga mencatat angka tempahan yang tinggi. Pada hari tersebut, hadiah bunga ros menjadi pilihan pelanggan.

Siapakah pelanggan BloomThis?
Ia terdiri dari semua segmen termasuk individu daripada pelbagai latar belakang yang menghargai bunga dan hadiah untuk diberikan kepada mereka yang dihargai dan merakamkan tanda terima kasih, penghargaan kepada mereka yang dihormati serta juga untuk memberi kegembiraan kepada mereka yang sedang sakit atau sedang menjalani rawatan.
Kami juga mempunyai pelanggan korporat yang membeli hadiah untuk majlis perniagaan, acara syarikat, majlis pelancaran atau untuk diberikan kepada pekerja mahupun kepada pelanggan perniagaan.
Adakah BloomThis menjadi perintis memperkenalkan sistem e-dagang dalam perniagaan bunga?
Berbanding dahulu, ramai pengusaha menjual bunga di tepi jalan yang mana bunga diletakkan di dalam bekas berisi air dan dipilih pelanggan tetapi masalahnya bagaimana pula kita nak menghantar bunga kepada orang lain sebagai cenderahati?
Jadi bermula daripada proses konvensional tersebut, pada hari pertama perniagaan lagi, kami telah menerapkan sistem digitalisasi dalam operasi dan usaha kami telah berjaya sehingga kini.
Disebabkan inisiatif tersebut, kami berjaya menghadapi pandemik kerana sistem e-dagang telah mula diamalkan.

Apakah cabaran yang dihadapi dalam industri ini?
Industri gubahan bunga adalah suatu perniagaan yang mudah diceburi. Sesiapapun boleh jadi pereka dan penggubah bunga yang mana mereka boleh beli bunga, menggubahnya dengan cantik dan boleh dijual di pasaran tetapi untuk mereka terus kekal lama dalam industri ini adalah suatu perkara yang sangat susah.
Bermula daripada pembelian bahan mentah (bunga-bungaan) dari Cameron Highlands, Pahang atau juga dari luar negara, prosesnya tidak mudah kerana bunga adalah bahan segar dan ia boleh dianggap sebagai sayur yang cepat rosak. Ia bukan seperti menjual iPhone atau barangan lain yang tahan lama. Seorang individu biasa hanya boleh menyiapkan gubahan maksimum sebanyak 20 gubahan sehari. Sama seperti yang saya lakukan sebelum ini sebab untuk menyiapkan satu gubahan bunga, ia memerlukan masa, kreativiti dan kesungguhan.
Kami kini di kilang boleh menyiapkan dari 500 gubahan sehari hingga 2,000 unit mengikut musim kemuncak. Proses logistik juga penting kerana gubahan bunga perlu dihantar dengan sebaiknya kepada pelanggan dalam masa yang ditetapkan.
Adakah perniagaan ini berpotensi untuk jangka panjang?
Ia adalah satu perniagaan evergreen tetapi dengan sistem digitalisasi yang diamalkan, segalanya mudah dan memberi kelebihan yang banyak kepada pelanggan untuk memenuhi permintaan mereka dan juga mengikut bajet masing-masing.
Antara kelebihan dan keunikan syarikat untuk terus berdaya saing adalah setiap gubahan bunga dan produk direka dan diteliti untuk menghasilkan visual yang menarik dan memberi impak mendalam kepada pelanggan.
Kami juga menyediakan pelbagai pilihan produk yang berkualiti tinggi bagi memastikan setiap pelanggan dapat menyampaikan rasa kasih sayang dan perhatian kepada orang yang mereka sayangi.
Kami juga mempunyai rantaian bekalan yang bagus dan stabil. Kami mengimport bunga segar dari pengeluar terbaik serta menggunakan bunga tempatan berkualiti tinggi yang dihasilkan pengeluar bunga tempatan di Malaysia. -KOSMO!ONLINE















