PETALING JAYA – Pameran Halal Antarabangsa Malaysia ke-19 (MIHAS 2023) yang akan berlangsung selama empat hari bermula 12 September ini telah mendapat tempahan menggalakkan daripada pempamer luar negara dan juga tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia, Datuk Mustafa Abdul Aziz berkata, sebanyak 1,500 reruai di pameran itu bakal dilanggan sepenuhnya menjelang Ogos ini kerana 90 peratus daripadanya telah ditempah kini.
Menurut beliau, sambutan yang menggalakkan diterima daripada pempamer pada penganjuran kali ini menunjukkan minat yang mendalam terhadap industri halal yang meliputi pelbagai segmen, bukan sahaja daripada perusahaan tempatan, malah dari peringkat global.
“Industri menjadikan MIHAS 2023 sebagai platform untuk mengukuhkan rangkaian perniagaan mereka dengan rakan niaga yang lain kerana penganjuran pameran yang dianjurkan sejak beberapa tahun lalu telah mencatat testimoni dan rekod terbaik dalam kalangan pemain industri halal.
“Sokongan daripada rakan industri juga menunjukkan keyakinan mereka terhadap penganjuran pameran tahunan itu.
“Malah jenamanya makin kukuh menjadikan ia sebagai pusat utama bagi syarikat halal dari seluruh dunia untuk menembusi pasaran halal global yang bernilai kira-kira AS$5 trilion (RM22 trilion),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

MIHAS 20223 anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan dianjurkan oleh Matrade akan diadakan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur.
Pameran tersebut akan mengetengahkan pelbagai produk makanan dan minuman konvensional, teknologi makanan, pendidikan, fesyen dan gaya hidup, e-dagang, peruncitan dan francais, hospitaliti dan pelancongan, perkhidmatan, kewangan Islam dan fintech, media dan rekreasi, kosmetik dan penjagaan kecantikan serta seni Islam dan juga kraftangan.
Selain itu, Mustafa mengunjurkan sasaran jualan MIHAS 2023 adalah sebanyak RM2.1 bilion.
Untuk rekod, MIHAS 2022 mencatat jualan sebanyak RM2.36 bilion yang mana jumlah tersebut melebihi daripada statistik sasaran awal iaitu sebanyak RM1.9 bilion. -KOSMO! ONLINE














