KUALA NERUS – Industri pembuatan batik tradisional terutama batik blok yang menjadi kebanggaan warisan Terengganu sejak sekian lama kini berisiko pupus ditelan zaman sekiranya tiada tindakan drastik diambil untuk memartabatkannya.
Lebih membimbangkan apabila pengusaha industri batik blok khususnya di negeri ini merosot hampir 50 peratus berbanding 14 tahun lalu.
Seorang pengusaha batik blok, Hassan Abdullah, 50, berkata, mereka yang masih mengusahakan batik blok Terengganu kini hanya tinggal 45 orang berbanding 80 orang pada tahun 2008.
“Generasi muda ramai tidak berminat menyebabkan banyak perusahaan batik blok tempatan tiada pewaris hingga operasi tersebut terpaksa ditutup.
“Perusahaan batik blok yang masih bertahan pula hanya bergantung harap kepada tenaga kerja yang rata-rata sudah berusia 40 tahun ke atas,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kilangnya di Batu Rakit di sini baru-baru ini.
Hassan berkata, secara puratanya hampir 85 peratus pekerja di kilang batik blok di Terengganu terdiri daripada generasi berusia yang sukar diganti apabila mereka tiada kelak.
Tambah beliau, ramai generasi muda tidak berminat mempelajari seni perusahaan batik blok walaupun latihan percuma ditawarkan dengan kerjasama Jabatan Kraftangan.
“Selain itu, kami juga sukar bertahan ekoran kos bahan mentah seperti kain putih, lilin, pewarna yang naik mendadak sejak akhir-akhir ini.
“Saya yang terlibat dalam perusahaan batik blok sejak 18 tahun lalu akui kenaikan kos bahan mentah sukar dielak kerana kebanyakannya diimport,” katanya.
Seorang lagi pengusaha, Norazizah Kassim, 43, terpaksa beralih kepada teknik penghasilan batik ‘ikat dan celup’ bagi meneruskan kelangsungan dalam industri batik Terengganu.
“Saya tidak mampu untuk terus mengusahakan batik blok yang lebih tradisional ekoran kekangan kos yang semakin tinggi.
“Lagi pun, batik ‘ikat dan celup’ lebih ekonomi dan diminati golongan muda kerana mengikut perkembangan fesyen semasa,” katanya.














