JERANTUT – Kewujudan banyak durian klon pada masa ini menjadikan durian yang jarang ditemui termasuk durian sangka atau durian hutan serta durian super ten kembali menjadi kegilaan peminat durian.
Malah transformasi yang dilakukan terhadap durian sangka melalui kaedah cantuman menyebabkan durian hutan itu kini rendang dan rendah, selain berbuah dalam tempoh enam tahun berbanding 15 tahun sebelum ini.
Dengan bunga lebat berwarna merah jambu dan berbau wangi membuatkan durian sangka kini terus mendapat perhatian dari mula berbunga hingga luruh.
Keadaan ini juga menyebabkan ramai pekebun durian mula menanam kembali spesies itu atau menukarkan pokok lama dengan durian hutan berkenaan.

Seorang pengusaha, Loi Fook, 70, berkata, pada masa ini, dia mempunyai dua pokok durian sangka yang melalui proses cantuman daripada pokok dalam hutan berusia lebih 100 tahun.
Katanya, pokok berusia tujuh tahun itu telah tiga kali berbuah, menyaksikan kali ketiga tahun ini dengan buah lebih lebat.
“Buahnya juga mendapat permintaan tinggi, pada masa ini telah mendapat permintaan dan tempahan daripada peminat durian,” katanya di kebunnya di Damak di sini semalam.
Menurutnya pada masa ini terdapat kira-kira 60 biji buah durian di pokok miliknya.
Katanya, isi durian hutan yang melalui proses cantuman itu agak unik dengan warna kuning, lembut, berbau wangi dan isi yang manis berlemak.














