fbpx

Johor rekod RM140 bilion pelaburan dalam sektor minyak dan gas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. HAIRI (dua dari kanan) diberi penerangan oleh Dr. Iskandar Al-Thani Mahmood (kanan) pada majlis perasmian Johor OGSE Roadshow 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor Bahru hari ini. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Sektor minyak dan gas Johor telah merekodkan pelaburan terkumpul sebanyak RM140 bilion sejak industri itu dimulakan secara aktif di negeri ini pada awal tahun 2000 dahulu.

Pemangku Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), Izhar Hifnei Ismail berkata, sebahagian besar daripada pelaburan itu dibuat di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC), yang bermula sejak 2012.

Menurut beliau, lokasi pelaburan lain sektor berkenaan di negeri ini termasuklah di Pasir Gudang, Tanjung Langsat dan Tanjung Bin.

“Setakat 31 Mac tahun ini, PIPC telah merekodkan jumlah pelaburan yang direalisasi sebanyak RM124 bilion hasil daripada pelaburan-pelaburan termasuk daripada Petronas dan juga Dialog Group.

“Namun sekiranya dicampur dengan projek minyak dan gas yang terlebih dahulu dijalankan di Pasir Gudang, Tanjung Langsat dan Tanjung Bin, jumlah pelaburan telah direalisasi adalah sebanyak RM140 bilion.

“Dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang ini, kita yakin akan ada pelaburan baharu daripada syarikat-syarikat asing yang melihat potensi besar PIPC di Pengerang,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas perasmian Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Tambah Izhar Hifnei, pembangunan pusat penapisan minyak dan pemprosesan petrokimia di PIPC itu juga telah mewujudkan sebanyak 7,415 peluang pekerjaan dengan dianggarkan sebanyak 70 peratus jawatan itu disandang rakyat tempatan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah pula memberitahu, pihaknya berharap program jelajah OGSE Johor terus diadakan pada masa depan termasuk pada skala lebih kecil agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI