fbpx
MOHAMED FADZILL (dua dari kiri) semasa sesi temu ramah bersama wartawan Kosmo! Ahad pada Khamis lalu. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Kerja kontraktor tidak lagi jamin kekayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Zaman ke­gemilangan kontraktor disifatkan sudah berakhir dan ia bukan lagi satu bidang yang ideal untuk diceburi.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, bidang kontraktor juga bukan lagi entiti perniagaan yang bagus ketika ini.

“Susah hendak buat untung (jadi kontraktor) sekarang ini. Sebab itu kontraktor banyak ‘mati’. Kalau dahulu makcik dan pak­cik jika anak dara mereka hendak nikah dengan kontraktor, bagi cepat-cepat.

“Kontraktor kaya, rumah besar, kereta besar. Hari ini makcik dan pakcik kata tidak usahlah (nikah) kontraktor, banyak lingkup,” katanya ketika ditemui ­Kosmo! Ahad baru-baru ini.

Beliau berkata, terdapat tiga faktor menyebabkan kontraktor bukan lagi bidang yang bagus untuk diceburi.

“Pertama, jumlah kontraktor di Malaysia terlalu ramai, kedua kurang projek daripada kerajaan mahupun swasta dan ketiga dise­babkan oleh kenaikan kos.

“Pada 2019 jumlah kontraktor bagi semua kategori sekitar 60,000, manakala data terkini terdapat 132,833 kontraktor di Malaysia,” ujar beliau.

Jelasnya, pertambahan itu berlaku kerana pengeluaran lesen kontraktor dibuka semula pada 2019 oleh kerajaan dengan alasan mahu menggalakkan mahasiswa menyertainya.

“Sekarang projek tidak ba­nyak, mahasiswa masuk pun ‘mati’. Kontraktor ramai, tetapi projek berkurangan sehingga 50 peratus selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kontraktor kelas G7 paling besar pun sama. Kira-kira 150 hingga 200 orang pergi mahu dapatkan satu tender. Harga barang pula naik, tetapi Variation Of Price (VOP) tidak naik,” katanya.

Justeru, katanya, PKMM akan menulis surat kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan meminta pengeluaran lesen baharu kontraktor dibekukan sehingga ekonomi negara kembali kuat dan stabil.

Ujarnya, pemberian lesen baharu tidak membantu orang ramai menjana pendapatan, sebaliknya mengundang risiko kewangan kerana perlu menanggung kos tahunan sekitar RM200,000.

“Kontraktor G7 hendak ‘pertahankan’ lesen perlu RM200,000 setahun. Perlukan jurutera, kerani, pejabat dan sebagainya, tetapi kerja tidak tahu ada lagi.

“Kalau boleh kerajaan bekukan dulu pengeluaran lesen kontraktor sehingga kerja banyak. Bagi yang ada ini hidup dulu. Le­sen banyak, tetapi hingga tiga tahun tiada kerja hendak buat apa,” katanya.

PKMM turut mencadangkan pemilihan kontraktor untuk sesebuah projek dibuat secara undian dan berpusat kerana le­bih adil berbanding secara tender, sekali gus dapat mengelakkan unsur rasuah, ketirisan dan kronisme.

Sementara itu, Timbalan Pre­siden PKMM, Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz menjelaskan, pertambahan mendadak golongan kontraktor disebabkan urusan untuk mendapatkan lesen dipermudahkan kerajaan bermula 2019.

“Sudah mesti ada isu kualiti kerja akan timbul, kena lihat juga pertambahan lesen baharu sebabkan usahawan (kontraktor sedia ada) gulung tikar,” katanya.

Beliau mencadangkan kerajaan memecahkan projek mega kepada beberapa pakej berban­ding keseluruhan projek diserah hanya kepada satu syarikat besar bagi membolehkan lebih banyak kontraktor kecil dan sederhana mengambil bahagian. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN