fbpx

Tiga kali Aydin jalani pembedahan, usus jadi pendek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD IQBAL banyak menghabiskan masa untuk menjaga Aydin di rumah mereka di Kampung Melayu, Sungai Buloh kelmarin.

SUNGAI BULOH – Kegembiraan sepasang suami isteri yang me­nerima cahaya mata kembar lelaki dua tahun lalu tidak bertahan lama apabila salah seorang anak mereka mengalami masalah usus pendek atau dikenali sebagai short bowel syndrome.

Nur Shahira Anisha Muhamad Zuber, 24, berkata, dia dan suaminya, Mohamad Iqbal Mohd. Afzanizam, 25, kerap bersedih setiap kali mengenangkan nasib yang menimpa Aydin Malique Mohamad Iqbal Adib, 2.

Katanya, semua itu berlaku selepas dua minggu dia melahirkan bayi kembar berkenaan.

“Semasa dalam kandungan semuanya baik-baik sahaja sehingga Aydin menghadapi masalah berak berdarah. Doktor terus buat imbasan dan mendapati Aydin ada masalah usus kerana jangkitan kuman.

“Setakat ini, sudah tiga kali Aydin jalani pembedahan. Pertama doktor buang bahagian usus yang ada kuman, kemudian bahagian yang tak sihat dan ter­akhir ketika menyambung ususnya.

“Doktor kata lepas ini tidak perlu lagi pembedahan kecuali jika berlaku sebarang masalah. Bagaimanapun, Aydin kerap sa­kit dan setiap bulan akan demam sehingga terpaksa ditahan di hospital,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Melayu di sini baru-baru ini.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, Aydin pernah berada di wad Hospital Wanita dan Kanak-kanak (HTA), Kuala Lumpur selama lebih setahun.

“Nak jaga Aydin tidaklah susah, cuma perlu berhati-hati setiap kali mahu pegang atau uruskan dia sebab ada dua wayar pada badannya iaitu wayar CVL untuk dia minum susu khas TPN (total parenteral nutrition) yang dibekalkan oleh pihak hospital.

“Satu lagi ada wayar yang dimasukkan tiub untuk minum susu formula,” katanya.

Dalam pada itu, ibu muda itu turut berharap agar ada mana-mana badan bukan kerajaan yang tampil membantu mereka dalam merawat anaknya.

“Suami hanya bekerja sebagai penghantar makanan kerana kerja tersebut mudah untuk cuti bagi membawa anak ke hospital.

“Gaji suami tidak cukup untuk tampung kos perbelanjaan kami setiap bulan yang mana kos RM1,500 sebulan hanya untuk keperluan Aydin seorang. Itu tidak termasuk makan minum, bil elektrik yang perlu kami tanggung sendiri,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu pasangan suami isteri itu boleh menghubungi di talian 011-28376393 atau menyalurkan ke akaun CIMB Bank 7614246369 atas nama Nur Shahira.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI