fbpx
Menjaga keselamatan pelajar ke sekolah adalah tanggungjawab ibu bapa dan semua pihak. – GAMBAR HIASAN

Mahu untung lebih punca bas sekolah haram beroperasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Enggan terikat pada peraturan selain mahu ­mengaut keuntungan lebih menjadi punca ramai pemilik bas sekolah haram terus melakukan kegiatan mereka.

Mereka tanpa berselindung juga menyatakan tidak takut dan bebas bergerak susulan penguatkuasaan yang lemah di samping mempunyai komuniti pemilik dan pemandu bas yang saling membantu antara satu lain.

Seorang pemilik bas haram yang mahu dikenali Mat, 50, memberitahu, peraturan ketat hanya membenarkan mereka beroperasi dalam radius 24 kilometer (km) adalah tidak berbaloi kerana pasaran dalam pengangkutan awam terutama murid atau pelajar sekolah ini meluas.

Justeru, katanya, apa dilakukan mereka adalah untuk memenuhi permintaan dengan keadaan terdapat pengusaha bas sekolah berdaftar sebelum ini lingkup akibat pandemik ­Covid-19.

“Pasarannya luas mengapa hendak disempitkan keuntu­ngan. Lagipun jumlah murid ramai dan ibu bapa pun sibuk seharian dalam urusan kerja.

“Itu adalah peluang terhidang. Bezanya kami tidak berdaftar, itu sahaja. Lagipun ibu bapa mahu anak mereka sampai sekolah dan tiba di rumah dengan selamat dan kita melakukannya,” katanya kepada Kosmo!.

Kata lelaki yang telah terlibatkan dalam perkhidmatan itu sejak lima tahun lalu, kos termasuk masa juga dapat dikurangkan tanpa perlu ­melalui pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) setiap enam bulan sekali.

Namun katanya, pemeriksaan masih dilakukan di bengkel-bengkel dalam memastikan kondisi kenderaan masih dalam keadaan baik.

“Sama sahaja, saya rasa asalkan kenderaan itu boleh berge­rak setiap hari. Enjin kenderaan, penukaran alat ganti termasuk tayar tetap diservis apabila sampai masa.

“Ini situasi menang-menang antara pemilik bas haram dan ibu bapa yang sama-sama membantu dalam kelangsungan hidup masing-masing,” jelasnya.

Lelaki itu bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah bas haram bawah kendaliannya.

Bagi seorang lagi pemilik bas haram dikenali Kamal, 40, operasi mereka tidak pernah diganggu seterusnya mendatangkan ‘suasana harmoni’ kepada mereka.

Malah katanya, perkara itu juga mendorong pemilik bas berdaftar turut melakukan perkara sama dengan menggunakan kenderaan persendirian.

“Sudah tiga tahun buat, tiada orang kacau atau usik jadi buat apa terikat peraturan.

“Jadi tidak usah jadi jujur (untuk mendaftar agensi berkaitan). Kita bina komuniti sendiri dengan sama-sama menjadi mata-mata sekiranya ada operasi dilakukan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, Mohd. Haron Mohd. Sidik berkata, sekiranya tidak diambil tindakan segera, jalan raya ibarat ‘bom jangka’ dengan mangsanya adalah anak-anak kita.

“Mereka ini sudah berasa seronok sebab mahu berniaga secara mudah. Ini membuatkan bas haram ini makin bertambah.

“Pemilik bas berdaftar menjadi ‘down’ sebab kejujuran mereka. Perkara ini boleh diselesaikan sekiranya penguatkuasaan jitu.

“Contohnya, hari ini penguat kuasa datang memakai baju preman dan mencatitkan nombor kenderaan mereka sebelum buat operasi keesokan harinya. Kalau ini dilakukan saya rasa masalah ini boleh selesai,” tegasnya.

Berita berkaitan: Bas sekolah haram kuasai Lembah Klang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN