fbpx
AINA ABDUL

Enggan ‘selfish’ alasan Aina Abdul tiada cinta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGUMPUL trofi anugerah bersulam populariti dan pengaruh, identiti Aina Abdul tidak perlu diperkenalkan lagi. Bergelar penyanyi juga komposer pada satu masa, dia bagaikan kejora di langit muzik tanah air.

Mendakap rezeki melimpah-ruah, pemilik nama Nurul Aina Abdul Ghani itu buat pertama kali diberi kepercayaan menjadi juri tetap program nyanyian popular, Big Stage edisi 2023.

Namun pencapaian tidak lengkap tanpa kritikan. Pada usia 30 tahun dan tempoh keberadaan dalam industri sejak 2015, ada pihak mempersoalkan kredibiliti dirinya sebagai juri yang boleh dikatakan masih muda dan terlalu hijau berbanding juri lain.

Tidak mudah melatah, penyanyi asal Negeri Sembilan ini tenang menzahirkan jawapan.

Jelasnya, dia sendiri tidak yakin berhujah kredibiliti, sama ada layak ataupun tidak menjadi juri.

“Saya harap saya boleh jawab dengan yakin yang saya layak untuk menjadi juri, tetapi jauh dalam sudut hati saya, saya sentiasa rasa bahawa saya perlu banyak lagi belajar tidak kira dalam vokal atau persembahan.

SELAIN kebolehan mencipta lagu berbahasa Melayu, Aina juga mempunyai beberapa lagu bahasa Inggeris yang dicipta sepenuhnya olehnya sendiri seperti Shadow, Reminiscing, Fool, Blue dan banyak lagi.

“Jika suruh saya bercakap sejujur-jujurnya, saya tidak rasa saya sudah layak menjadi juri,” ujarnya.

Ironinya, pelantun Terus Hidup itu percaya dia layak bergelar juri berbekalkan ilmu dan pengalaman yang dimiliki.

“Saya harus yakinkan diri yang saya layak menggalas tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya.

“Peluang jadi juri, terutama untuk penyanyi seperti saya mungkin datang sekali seumur hidup.

“Saya akui, saya sendiri banyak yang perlu diperbaiki,” jelasnya.

Enggan terlalu larut dalam soal layak atau tidak, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu turut berkongsi keterujaan pembikinan album studio pertamanya dan konsert berskala besar yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Sedang bertungkus lumus menyiapkan album pertamanya selain kerja-kerja seni tertangguh yang perlu diselesaikan, kata Aina ada hadiah mahu diberikan kepada peminat.

“Album pertama saya akan dilancarkan hujung tahun ini, saya juga sedang material audio konsert A Night with Aina Abdul 2.0 yang lalu untuk dilancar dalam semua platform muzik sebagai hadiah untuk peminat,” katanya yang turut mempersiapkan diri ‘berperang’ dalam konsert A Night with Aina Abdul 3.0 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada November depan.

Tambah Aina: “Selepas Terus Hidup, saya akan ketengahkan beberapa lagu tahun ini. Mental dan fizikal serta perancangan untuk konsert juga sedang dalam persiapan, dua benda ini (album dan konsert) yang cuba saya usahakan sehabis daya.”

AINA akui, Ainations merupakan tulang belakang dan antara penyebab untuk Aina Abdul terus mekar dalam industri muzik tanah air.

Inspirasi

Bukan namanya Aina Abdul jika terlepas pandang soal gaya unik setiap kali muncul di pentas persembahan waima sekadar artis jemputan untuk rancangan temu bual.

Penampilan ‘avant-garde’ yang sering menuai pujian seiring kecaman sudah menjadi perenggan penting dalam lonjakan karier anak bongsu daripada lima adik beradik itu.

Bertanyakan Aina tentang kelangsungan fesyennya, dengan yakin dia menjawab itulah identiti Aina Abdul selain masih banyak lagi fesyen yang ingin dieksperimentasi.

“Terutamanya sebagai ‘hijabista’, saya sedang cuba menepis stigma wanita bertudung hanya terikat dalam fesyen tertentu sahaja.

“Saya beranikan diri untuk berfesyen di luar kotak, namun masih menjaga batas sebagai wanita Muslim,” katanya.

Ditanya siapa figura yang dijadikan inspirasi dalam berfesyen, Aina lebih melihat kepada pereka fesyen terkenal luar negara seperti Schiaparelli selain selebriti popular seperti Rihanna dan Doja Cat.

“Schiaparelli menampilkan fesyen yang inovatif, kebanyakan baju-bajunya tular di karpet merah. Saya juga banyak tengok Fashion Week luar negara dan sebenarnya inspirasi banyak datang daripada situ,” kongsi Aina.

AINA memutuskan belum bersedia menjalin cinta, dia bimbang kelak pasangannya dilanda kecewa dan sepi, persis jalan cerita kebanyakan lagu ciptaannya.

Masih sendiri

Sibuk kisah fesyen dan pencapaian, lagu, album dan konsert, fitrah hati seorang wanita yang dicintai dan mencintai sengaja diungkit dalam perbualan.

“Saya sangat ‘workaholic’, namun saya sentiasa mengingatkan diri saya supaya harus ada sisi untuk bersuka-ria. Harus ada seseorang untuk mendampingi diri ini. Tetapi momen itu belum sampai dalam diri saya.

“Sesetengah orang, mereka boleh ada cinta dan kerjaya pada masa yang sama, tapi tidak bagi saya.

“Jika saya ada teman lelaki, saya tidak mahu ‘selfish’ dengan pasangan saya, saya tidak mahu pasangan rasa tidak dihargai dan tidak diberi perhatian secukupnya kerana saya sibuk dengan kerja,” ujarnya tenang.

Justeru, bekas anak didik Ella itu memutuskan belum bersedia menjalin cinta, dia bimbang kelak pasangannya dilanda kecewa dan sepi, persis jalan cerita kebanyakan lagu ciptaannya.

Mengetepikan soal cinta, Aina menanam harapan besar terhadap kariernya mendatang agar terus lebih mekar dengan karya-karya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

“Moga karier saya lebih berkembang, lebih maju dan lebih dikenali serta lebih kehadapan dengan karya-karya yang bagus dan bermutu tinggi sekali gus mendekatkan hati saya kepada peminat dan pencinta muzik tanah air.

“Harap semakin tinggi karier saya, semakin dekat jiwa saya dengan Pencipta kerana itu sangat penting untuk hidup sebagai anak seni, terus hidup dalam keberkatan-Nya,” ujarnya mengakhiri perbualan.

SOAL layak atau tidak bergelar juri Big Stage, Aina percaya, jika dari segi ilmu dan pengalaman yang dimiliki dia yakin mampu melaksanakan tugasan tersebut dengan sebaik-baiknya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN