MINAT bekas jaguh sukan bina badan negara, SAZALI SAMAD terhadap sukan bina badan tercetus saat dia melihat Datuk Malek Noor di dalam dada akhbar.
Nekad atlet kelahiran Batu Pahat Johor tersebut untuk menempa nama dalam acara bina badan terserlah menerusi kejayaannya merangkul gelaran Mr. Universe sebanyak 10 kali.
Bagaimanapun, perjalanan karier Olahragawan Kebangsaan sebanyak empat kali itu menemui jalan buntu apabila proses penggantungannya ekoran kes doping pada tahun 2014 dilanjutkan sehingga September tahun ini.
Rentetan itu, Sazali bukan sahaja mengambil keputusan untuk bergerak solo dalam aktiviti sukannya, malah mencuba nasib menjadi Youtuber.
Selain itu, Sazali juga sedang gigih menggilap bakat anak lelakinya, Muhammad Hazim Sazali, 23, untuk menjadi atlet jaguh bina badan, manakala anak perempuannya, Sabrina Hani Sazali, 17, untuk menjadi atlet angkat berat.
Bersama wartawan Kosmo! Ahad, SITI SARAH NURUL LIYANA, sosok berusia 55 tahun itu berkongsi berkenaan perkembangan hidupnya di sebalik kontroversi itu dan pandangannya mengenai keghairahan anak-anak muda kini yang mahu cepat bertubuh sado.
Kosmo! Ahad: Sebagai legenda sukan bina badan negara, bagaimanakah anda melihat sukan tersebut di Malaysia ketika ini? Adakah negara mempunyai pelapis-pelapis yang mampu menawan dunia?
SAZALI SAMAD: Tidak dinafikan, persaingan dalam kalangan atlet sukan bina badan negara sangat sengit. Masing-masing memiliki potensi, tetapi untuk mencapai ke tahap Mr. Universe itu jauh lagi.
Bukan sahaja kejohanan dunia, di peringkat Asia pun masih lagi dalam tier kedua. Mereka perlu bekerja dengan lebih kuat lagi.
Sekarang, saya sendiri sedang melatih anak saya, Hazim untuk menjadi pelapis kepada sukan bina badan negara.
Dia baru memenangi satu pingat emas dalam acara junior dan satu pingat perak dalam acara bantam di Kejohanan Showdown Singapura pada Februari lalu. Dia bercita-cita untuk meneruskan legasi saya.
Pada usia 55 tahun ketika ini, badan anda dilihat masih kekal ‘berketul’. Apakah rahsia atau rutin yang saudara amalkan bagi mengekalkan bentuk badan menawan seperti 15 tahun dahulu?
Alhamdulillah. Saya bersyukur masih diberikan kesihatan yang baik. Sepanjang 30 tahun lebih saya dalam arena sukan bina badan sehinggalah pagi tadi, saya masih lagi mengamalkan diet sama.
Saya makan lapan biji telur putih dan dua kuning, makanan bersumberkan karbohidrat dan vitamin.
Sekarang ini saya mengamalkan senaman lima hari berturut-turut, kemudian rehatkan badan pada hari minggu. Rehat Itu penting untuk badan pulih. Saya juga selalu dapatkan urutan badan dan fisioterapi selepas aktiviti berat.
Adakah anda masih aktif menyertai pertandingan bina badan atau sudah beralih menjadi jurulatih dan juri selepas digantung sehingga 22 September tahun ini?
Saya tidak pernah jadi juri dan saya masih bertanding walaupun bergerak secara solo. Kali terakhir saya bertanding dan menang dalam kejohanan adalah pada 2019. Saya menang di Vietnam,
Macau dan Jepun. Tapi semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya hanya tumpu pada kekalkan keadaan fizikal saya.
Sepanjang karier anda, pelbagai kejayaan diraih sama ada di dalam mahupun luar negara. Bagaimanapun, anda beberapa kali terpalit dengan kontroversi doping sehingga mengganggu perjalanan karier. Boleh ulas mengenai perkara ini dan adakah ia lumrah apabila ahli bina badan terpalit kontroversi?
Saya tidak mahu mengulas panjang tentang perkara ini. Sebab situasi ini bukan hanya berlaku dalam sukan bina badan, tetapi berlaku juga dalam sukan-sukan lain.
Arena sukan kita sendiri menyaksikan atlet sukan terjun, badminton dan sebagainya turut terpalit isu doping. Bagi saya, perkara ini berkaitan dengan penjagaan pemakanan atlet itu sendiri.
Kadang-kadang benda sudah nak jadi, saya anggap sahaja sebagai ujian Tuhan.
Sejak kebelakangan ini, semakin ramai anak muda yang mahu memiliki bentuk badan ‘berketul’. Mereka dilihat cukup aktif pergi ke gimnasium dan berhabis duit yang banyak. Bagaimanakah pandangan anda tentang fenomena ini?
Budak-budak sekarang ramai nak dapatkan badan sado. Ada yang berusia semuda 13 tahun sudah bersenam di gim. Badan mereka pun sudah mula berketul-ketul walaupun di usia muda.
Pada saya, ini tidak salah. Cuma, saya harap mereka melakukan senaman dengan teknik dan pernafasan yang betul supaya tidak berlaku sebarang kecederaan yang memudaratkan.

Biasanya, apakah rutin yang perlu dilakukan oleh golongan yang ingin memiliki bentuk badan sado. Perlukan angkat beban sehingga puluhan kilogram atau makan telur sehingga sepapan sehari?
Paling penting, perlu ada sasaran dan fokus pada tempoh yang kita mahu dapatkan hasil. Kemudian, tiga dan empat bulan sebelum tarikh berkenaan, kita sudah mulakan diet.
Mereka perlu kerap makan untuk membantu pembinaan otot tapi perlu pantang makan makanan berminyak dan manis. Dari segi senaman, perlu lakukan senaman otot lengkap dan seimbang untuk satu badan.
Kemudian, rehat untuk sehari, biar otot pulih. Ulang langkah ini. Sekiranya dapat jaga makanan dan konsisten jaga badan, itu sudah mencukupi dan mereka tak perlu ambil vitamin tambahan.
Biasanya berapa lamakah waktu yang diperlukan untuk melihat perubahan pada tubuh selepas melakukan rutin yang betul?
Kita tak boleh letakkan semua orang dalam situasi sama. Sesetengah orang, dia memiliki genetik yang sesuai untuk sukan ini.
Badan dia sudah memiliki ketak, tidak terlalu kurus, tidak terlalu gemuk. Perubahan badan bagi mereka pasti lebih cepat, berbanding mereka yang tidak.
Terdapat segelintir golongan ini yang mengambil jalan mudah untuk memiliki bentuk badan berketul termasuk mengambil bahan terlarang yang dibeli secara online seperti steroid. Hakikatnya bahan ini akan beri impak negatif pada kesihatan mereka jika tidak dikawal pengambilan. Apakah nasihat anda kepada mereka?
Kemudahan akses kepada bahan-bahan yang menjanjikan kesan segera sememangnya membimbangkan, terutama dengan pengaruh dalam media sosial yang membuatkan budak-budak ini tertarik untuk dapatkan hasil dengan usaha minimum.
Nasihat saya, ibu bapa perlu pantau pengambilan ubat anak-anak dan beri mereka bimbingan sewajarnya. Bagi yang dewasa, saya nasihat mereka agar tidak memudaratkan badan untuk kesan sementara. Dapatkan pembimbing bertauliah sekiranya serius mahu dapatkan badan berketul dengan cara sihat.
Sekarang ini, anda dilihat cukup aktif dalam YouTube. Apakah tujuan utama anda berbuat demikian dan bagaimana pula dengan sambutan penonton?
Sudah tiga tahun saya berkecimpung dalam dunia YouTmMAube ni. Tujuannya adalah untuk kongsi perkembangan hidup saya, rutin dan nasihat kepada umum. Topik konten saya pelbagai.
Peminat-peminat juga berpeluang mempelajari teknik-teknik senaman dan pemakanan yang saya ajar menerusi video. Saya dibantu keluarga dan rakan dari segi rakaman, suntingan dan idea.
Saya juga dijemput untuk menghadiri banyak aktiviti, rancangan TV dan menjadi duta. Alhamdulillah, ini juga salah satu cabang punca sumber rezeki saya.
Saya belajar untuk ikut peredaran zaman. Bermula daripada saya edit sendiri sehinggalah rakan saya bantu dari segi suntingan video. Boleh nampak perbezaan video pertama dahulu dengan yang sekarang.
Sebelum ini, anda pernah beritahu media anda sering berpantang makanan ketika musim perayaan. Adakah rutin itu masih diteruskan pada raya tahun ini?
Walaupun terdapat banyak godaan pada bulan puasa dan musim perayaan, saya masih mampu jaga pemakanan. Pada waktu pagi, saya akan amalkan diet seperti yang saya sebutkan sebelum ini.
Selepas itu, saya akan makan apa sahaja yang saya inginkan. Kemudian, saya akan bakar balik kalori di gim. Saya akan cuba jaga keseimbangan diet saya.
Namun, sekiranya saya ada pertandingan tiga bulan selepas raya, saya akan ikut diet ketat iaitu tiada makanan manis dan bergoreng.














