fbpx
Seramai 42 orang pegawai dan atlet berarak dengan bergaya selepas memperagakan busana batik pada upacara pembukaan rasmi temasya Sukan SEA Kemboja 2023 sebentar tadi. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

Sukan SEA Kemboja 2023 buka tirai rasmi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PHNOM PENH – Tirai temasya sukan paling berprestij Asia Tenggara, Sukan SEA Kemboja 2023 akhirnya dibuka secara rasmi dalam acara yang penuh gilang gemilang di Stadium Nasional, Morodok Techo sebentar tadi.

Difahamkan hampir 80,000 peminat tempatan membanjiri kawasan kompeks ini sejak pukul 11 pagi sehingga menyebabkan kesesakan trafik sejauh lima kilometer di luar perkarangan stadium.

Peminat yang hadir ke stadium dihiburkan dengan beberapa persembahan nyanyian daripada artis terkenal tempatan, sebelum mereka disajikan dengan persembahan kebudayaan Kemboja.

Percikan bunga apa yang bergemalapan melimpahi ruang angkasa Phnom Penh menggamatkan lagi suasana upacara pembukaan sebentar tadi.

Ini merupakan buat julung kalinya Kemboja tampil menjadi penganjur sukan temasya dwitahunan dalam tempoh 64 tahun sejak ia mula diadakan pada 1959 dengan nama temasya Sukan SEAP.

Pembawa Jalur Gemilang, R. Sharmendran mengetuai kontinjen Malaysia yang dibarisi seramai 42 orang pegawai dan atlet berarak dengan bergaya selepas memperagakan busana batik berona biru untuk lelaki, manakala atlet dan pegawai wanita pula kelihatan ayu mengenakan batik berona merah.

“Baju ini merupakan baju tradisional negara, jadi detik-detik mengetuai perbarisan ini bukan sahaja satu penghormatan, tetapi akan saya kenang sampai bila-bila kerana bukan semua orang dapat merasai pengalaman ini.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia kerana memberi peluang ini.

“Kami sudah bersedia untuk berjuang, dan apatah lagi karate juga akan bermula esok, begitu juga dengan acara sukan lain, jadi saya mengharapkan agar kami semua dapat berikan aksi yang terbaik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN