fbpx
MAKHLUK kenit dan bayangan hitam yang muncul di sebuah sekolah di utara tanah air dikaitkan dengan pendudukan tentera Jepun. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Misteri lelaki kenit penunggu sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH orang disakat oleh makhluk halus mahupun hantu pada waktu awal pagi dan tengah hari rembang jarang kita dengar.

Dalam pemikiran masyarakat kita, kisah seram, misteri dan kemunculan hantu yang menakutkan sering dipotretkan berlaku ketika waktu senja hingga menjelang subuh.

Begitu juga kisah manusia kerasukan jin dan syaitan di dalam filem biasanya berlaku pada tengah malam.

Namun, kisah seram yang berlaku kepada beberapa orang pelajar hampir 40 tahun lalu di sebuah sekolah di salah satu negeri di utara Semenanjung masih menjadi perbualan penduduk setempat.

Wartawan Kosmo! Ahad menemui seorang usahawan di Banting, Selangor yang ingin dikenali sebagai Aziz Shukor.

Lelaki berusia 50 tahun itu menceritakan pengalaman seram dia dan beberapa rakannya berhadapan dengan situasi menyeramkan semasa belajar di sekolah rendah.

“Kisah ini melibatkan rakan sekelas saya, Suhaida yang datang awal pagi ke sekolah.

“Ketika itu, keadaan di dalam kelas masih agak kelam iaitu kira-kira pukul 6.45 pagi. Sedang Suhaida meletakkan beg sekolah, seorang lelaki kerdil tiba-tiba muncul dari belakang kelas,” katanya ketika ditemui di Pulau Carey baru-baru ini.

Aziz berkata, Suhaida pada awalnya terkejut dengan kehadiran lelaki tersebut dan ingin melarikan diri, namun kakinya seperti dirantai.

Katanya lagi, Suhaida bertanya kepada lelaki kerdil itu dia datang dari mana dan tujuan dia menegur dirinya.

“Lelaki kerdil tersebut berkata, dia tinggal di sekolah tersebut dan sudah lama berada di situ sejak sebelum sekolah itu dibina.

“Suhaida bercerita, ‘makhluk’ kenit tersebut mempunyai muka persis orang dewasa biasa cuma tingginya hanya 0.9 meter,” katanya.

Jelasnya lagi, Suhaida kemudian meminta izin daripada lelaki kerdil tersebut untuk turun dari kelas yang terletak di tingkat dua sekolah.

Aziz memberitahu, Suhaida tanpa menoleh ke belakang menuruni tangga dengan pantas dan terus menceritakan pengalamannya kepada rakan-rakan dan guru yang baru sampai ke sekolah.

“Kecoh sekolah saya pada pagi itu disebabkan Suhaida bertemu makhluk halus yang peramah.

“Nasib baik Suhaida tidak demam dan kerasukan. Namun, apa yang dilihatnya kemungkinan besar orang bunian bukannya hantu,” ujarnya.

Menurut Aziz yang lebih 30 tahun tinggal di Banting, kisah makhluk kerdil tersebut bukanlah yang pertama di sekolah itu.

Ujarnya, hal ini kerana dia dan rakan-rakan sekelas juga pernah disakat oleh bayangan makhluk hitam di siling bilik televisyen (TV) sekolah tersebut.

Ceritanya, peristiwa menyeramkan itu berlaku pada pukul 12 tengah hari sehingga menyebabkan aktiviti menonton TV Pendidikan menjadi sesi pelajar berada dalam ketakutan terutama murid perempuan yang berpelukan sesama mereka seperti dirasuk.

“Bayangan hitam tersebut seakan bertawaf sebelum menghilang pada dinding di bahagian bawah siling.

“Guru kelas yang sudah lali dengan keadaan tersebut meminta murid-murid supaya tidak menegur dan melihat bayangan itu.

“Siang-siang mana ada hantu, kata cikgu kami. Seolah-olah mencabar hantu tersebut untuk menampakkan dirinya,” ceritanya.

Aziz berkata, salah seorang gurunya ada menerangkan kepada murid-murid tentang sejarah sekolah tersebut.

“Cikgu itu beritahu bahawa sekolah kami pernah menjadi tempat tentera Jepun beroperasi semasa zaman pendudukannya selama tiga tahun lapan bulan iaitu antara tahun 1941 hingga 1945.

Aziz memaklumkan, sepanjang penjajahan Jepun, ada tahanan mati akibat didera dan diseksa di sekolah yang menjadi markas tentera berkenaan mentadbir secara kuku besi.

“Cikgu Sejarah saya kata, berlaku tembak-menembak semasa tentera Jepun dan tentera British bertempur di sekolah tersebut.

“Kesan darah kering masih terdapat di dinding sekolah itu.

“Ini membuktikan kebenaran fakta sejarah tersebut,” ujarnya.

Namun jelas Aziz, dia belum mendengar kisah penduduk sekitar terserempak dengan hantu askar Jepun secara berdepan melainkan kisah makhluk kenit dan bayangan hitam pada tengah hari.

Tambah Aziz lagi, kawasan sekolah rendahnya itu mempunyai aura pelik seolah-olah ada makhluk memerhatikan murid-murid bermain dari tingkat atas kelas yang tidak berpenghuni.

“Ini disebabkan ada rakan saya ternampak kelibat askar Jepun pada waktu tengah hari dari tingkap kelas di tingkat dua.

“Namun, sehingga kini tiada siapa yang percaya cerita kawan saya itu. Dia (kawan) pun sudah meninggal beberapa tahun lalu.

“Sebagai sahabat, saya percaya dengan ceritanya itu. Apa yang pasti banyak kisah misteri sekolah tersebut tidak diceritakan oleh guru-guru.

“Hal ini kerana ia dibimbangi akan menakutkan murid-murid hendak datang ke sekolah tersebut,” jelasnya.

Cerita Aziz lagi, sekolah berkenaan sudah pun dinaik taraf menjadi bangunan untuk pelancongan.

Katanya, dia tidak pasti sama ada lelaki kenit tersebut masih wujud di bangunan tersebut atau tidak.

“Siang atau malam, saya enggan mengambil risiko disakat oleh bayangan hitam mahupun disapa lelaki kenit yang peramah.

“Ia sangat menakutkan apabila mengenang kembali cerita itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN