PAGOH – Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura akan dibina dalam masa terdekat dan dijangka siap pada 2029.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, projek yang membabitkan kos RM50 bilion itu akan memberi pelbagai manfaat kepada negara.
Jelasnya, tempoh perjalanan Kuala Lumpur-Singapura bakal mengambil masa 80 minit sahaja.
“Rakyat Parlimen Pagoh paling bertuah kerana sebuah stesen HSR akan ada di sini iaitu berdekatan Universiti Hub Pendidikan Tinggi Pagoh.
“Projek ini akan melalui kawasan ini dan merupakan peluang kita untuk meningkatkan peluang ekonomi di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Pemimpin Masyarakat Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini hari ini.
Pada 31 Mei lalu, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menangguhkan pembinaan projek dua hala bernilai RM110 billion itu sehingga 31 Disember 2020.
Projek sepanjang 350 kilometer itu ditangguhkan sejak Septemter 2018 dan akan disambung semula pada akhir Mei 2020.
Ini kali kedua projek HSR ditunda sehingga menyebabkan Malaysia terpaksa membayar sejumlah S$15 juta kepada Singapura untuk menampung kos penundaan projek berkenaan.-K! ONLINE














