JOHOR BAHRU – Tiga daerah di negeri ini iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pontian akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 23 jam bermula 21 April ini.
Pengumuman itu dikeluarkan oleh Ranhill SAJ susulan pelaksanaan kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air Sungai Johor yang dijadualkan bermula pukul 9 pagi, 21 April hingga 8 pagi, 22 April.
“Kerja penyelenggaraan berkenaan merupakan inisiatif penting bagi memastikan sistem rawatan air berada pada tahap optimum selain mematuhi piawaian industri air negara.
“Pelaksanaan kerja ini juga bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bersih terawat kepada pengguna di seluruh negeri Johor,” jelas kenyataan itu.
Antara kawasan yang terlibat di Johor Bahru termasuk Tiram, Skudai dan Kempas melibatkan kawasan perumahan, premis komersial serta industri.
Di Iskandar Puteri pula, gangguan dijangka melibatkan kawasan seperti Nusa Idaman, Horizon Hills, Educity, Puteri Harbour dan Taman Nusantara.
Bagi daerah Kota Tinggi, antara lokasi terjejas termasuk Bandar Kota Tinggi, Taman Kota Jaya, Taman Seri Saujana serta beberapa kampung sekitar seperti Kampung Lukut dan Kampung Makam.
Sementara itu, di Pontian, gangguan bekalan air dijangka melibatkan kawasan sekitar Kukup dan beberapa penempatan berhampiran.
Sehubungan itu, pengguna disaran menyimpan bekalan air secukupnya lebih awal bagi menghadapi tempoh gangguan tersebut.
Tambahnya, tangki simpanan di premis kediaman kebiasaannya mampu menampung penggunaan air sehingga 24 jam sekiranya digunakan secara berhemah.
“Bagi pengguna yang tidak mempunyai tangki simpanan, disarankan menyediakan bekas air secukupnya untuk kegunaan sepanjang tempoh gangguan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














