LAYANAN bertaraf lima bintang bermula setibanya pengguna jet peribadi menjejakkan kaki di terminal iaitu 15 minit sebelum masa pelepasan.
Semua kemudahan dan perkhidmatan dalam pesawat mewah itu diatur sesuai dengan keselesaan serta kemahuan pengguna tersebut.
Selain boleh ditempah selewat-lewatnya enam jam sebelum masa pelepasan, perkhidmatan penerbangan peribadi juga boleh dijadualkan untuk terbang ke lebih daripada satu negara dalam tempoh sehari.
Sesuai dengan taraf servis ditawarkan, pengguna perkhidmatan jet peribadi terdiri daripada orang kenamaan (VIP), kerabat diraja, ahli korporat termasuk individu berpengaruh dari dalam dan luar negara.
Pengarah Serantau untuk Perkhidmatan Antarabangsa HADID Asia, Aida Ismail berkata, salah satu indikator ke arah menjadi negara maju adalah dengan peningkatan bilangan pemilik atau penyewa jet peribadi di sesuatu negara.
Katanya, peningkatan tersebut mencerminkan keyakinan golongan berkenaan untuk menjalankan urusan di negara tersebut, sekali gus menarik pelabur-pelabur lain untuk melakukan perkara sama.
Maklumnya, perkara itu boleh dicapai dengan adanya sebuah hab jet peribadi yang memiliki standard jaminan perkhidmatan dan keselamatan bertaraf ‘top notch’.
“Industri perkhidmatan jet peribadi sangat niche (kecil) kerana hanya dua hingga lima peratus daripada populasi manusia mampu menggunakan perkhidmatan ini.
“Mereka ini terdiri daripada pembuat-pembuat keputusan dalam pelbagai peringkat daripada organisasi sehinggalah negara.
“Justeru, masa mereka sangat berharga dan setiap urusan perlu dilakukan dengan efisien.
“Golongan ini membawa peluang pelaburan yang berpotensi untuk mengubah landskap ekonomi negara,” katanya yang sudah hampir sedekad berada dalam industri penerbangan.

HADID International Services FZE (HADID) merupakan pembekal terkemuka perkhidmatan sokongan penerbangan dan perkhidmatan pengendali pangkalan tetap (FBO) kepada pelanggan.
Syarikat berpangkalan di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu menawarkan perkhidmatan penerbangan domestik dan antarabangsa.
Ia termasuk permit penerbangan, perancangan penerbangan, sokongan darat, sokongan penerbangan kerajaan dan perkhidmatan sewa jet.
Pihak HADID teruja dan optimis berkenaan usaha untuk mengubah suai Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang, Selangor menjadi terminal bertaraf dunia untuk penerbangan jet peribadi.
Tambah Aida, Malaysia bukan sahaja strategik dari segi lokasi, malah memiliki kelengkapan infrastruktur dan peluang pelaburan yang menarik, sekali gus menjadi destinasi popular bagi pelabur serta pelancong kenamaan.
Dengan adanya hab jet peribadi yang serba lengkap dan canggih itu, ia bakal memudahkan operasi perjalanan jet peribadi tanpa perlu ‘berebut’ dengan penerbangan komersial.
Lapangan terbang yang terletak lebih kurang 30 kilometer (km) dari pusat bandar Kuala Lumpur itu memiliki panjang landasan 3.7 km.
Landasan tersebut sesuai untuk pesawat prop kecil, jet kecil, jet sederhana, jet jarak jauh dan jet berbadan lebar.
“Antara ciri utama projek pembangunan semula Lapangan Terbang Subang adalah hangar baharu beserta kemudahan penyelenggaraan, infrastruktur landasan (runaway) dan landas hubung (taxiway) yang perlu dipertingkatkan. Selain itu, terminal VIP baharu perlu menawarkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan termasuk ruang istirahat, bilik mesyuarat dan perkhidmatan concierge.
“Secara ringkasnya, kami berminat untuk membawa kepakaran selama 42 tahun dalam bidang penerbangan perniagaan untuk membantu industri berkenaan di negara ini,” tuturnya lagi.

Kewujudan hab jet peribadi juga bakal membuka banyak peluang pekerjaan bukan sahaja dalam industri penerbangan, malah memberi impak secara langsung kepada rangkaian perkhidmatan yang lebih luas.
Dengan menjadikan Lapangan Terbang Subang sebagai hab jet peribadi, pembangunan di sekelilingnya secara tidak langsung akan dimajukan untuk ditampilkan kepada para pelabur berpotensi.
Ia juga akan mendorong kemasukan syarikat-syarikat besar ke negara ini seperti hotel, inap desa, pusat beli-belah serta memajukan perniagaan masyarakat setempat.
“Permintaan pekerjaan dalam sektor penerbangan dan berkaitan juga akan meningkat. Sebagai contoh, setiap kali pesawat singgah di hangar, pasukan jurutera diperlukan untuk penyelenggaraan jet peribadi berkenaan.
“Selain itu, pemandu diperlukan untuk membawa VIP ke destinasi dan hotel mereka tinggal. Perniagaan masyarakat tempatan juga akan melonjak sekiranya individu ini melawat kawasan mereka.
“Dalam industri itu sendiri, terdapat banyak peluang pekerjaan termasuk bahagian kewangan, operasi penerbangan, pengurusan bahan api, jaminan kualiti dan sebagainya, “ kongsinya lagi.
Aida berharap kerajaan akan terus memberikan sokongan kepada pembangunan industri pernerbangan perniagaan agar aliran trafik jet peribadi di Malaysia meningkat.
Keadaan tersebut dilihat sesuai dengan perkembangan pembangunan mobiliti udara di dunia yang menuju ke arah penghasilan air uber taxi.
Bagi membolehkan industri penerbangan perniagaan di Malaysia bersedia ke arah itu, pelbagai aspek perlu dirombak dan diselia semula.
“Pengendali-pengendali jet peribadi perlu disemak dan dinilai semula bagi memastikan hanya syarikat yang menepati piawaian dikekalkan dalam industri ini.
“Selain itu, pihak terlibat dalam industri ini juga perlu diberi peluang untuk menyertai Konvensyen dan Pameran Penerbangan Perniagaan di Geneva, Switzerland. Ia bagi membolehkan mereka memahami sifat industri ini dengan lebih baik.
“Sebagai pihak yang berurusan dengan pengguna jet, kami berharap akan diberi peluang terlibat secara lebih inklusif, holistik dan berterusan bagi perbincangan meja bulat berkaitan pembangunan industri ini di Malaysia,” jelasnya.














