PETALING JAYA – Keganasan rumah tangga dalam kalangan pasangan muda bukanlah perkara baharu, malah ada suami yang sanggup bertindak kejam dengan mencederakan isteri sendiri.
Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, berdasarkan pengalamannya, ramai pasangan di usia perkahwinan tujuh tahun dan ke bawah datang bertemu dengannya bagi mendapatkan sesi kaunseling.
Katanya, kebanyakan yang hadir mengalami stres mental serta emosi dan tahap mereka berbeza mengikut personaliti.
“Tahap stres ada yang teruk, sederhana dan sangat teruk sehingga pukul dan cederakan isteri. Akibatnya ramai wanita yang mengalami cedera emosi.
“Si isteri akan pendam sampai suatu masa meletus dan akhirnya bercerai. Kesihatan mental lebih bahaya daripada penyakit lain kerana tidak boleh dilihat dengan mata kasar.
“Ramai pasangan yang datang beritahu mereka ada tanda-tanda penyakit mental. Kita akan nasihat untuk rujuk pakar. Mereka ini perlu dapatkan rawatan dan ambil ubat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.
Tambah Hushim, kebanyakan pasangan datang bila sudah bermasalah, sedangkan jika dapat diagnos penyakit tersebut dari awal, ia dapat dicegah daripada berlarutan.
“Sebab itu ujian kesihatan mental sebelum berkahwin perlu diwajibkan. Lagi-lagi jika ada pasangan yang menagih dadah.
“Kalau orang yang normal, bila stres dia boleh uruskan cara baik. Tetapi untuk yang ada masalah mental, mereka akan bertindak di luar kawalan kerana berhalusinasi atau mendengar bisikan dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Hushim menganggap lebih baik sekiranya ujian tersebut turut dibuat selepas berkahwin iaitu dalam tempoh satu hingga lima tahun.
“Ada orang sebelum ambil ujian kesihatan mental, dalam keadaan baik sahaja. Tetapi lepas sudah berkahwin, ada anak-anak, kerja stres, barulah penyakit tersebut muncul,” katanya.















