fbpx

Ramadan sayu tiga beradik yatim piatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AIN FITRIYAH (tengah) bersama Muhammad Adami Najmuddin (kanan) dan Muhammad Adzli Abid Muayyad menatap gambar ibu bapa mereka yang maut kemalangan di Marang Januari lalu. – PUQTRA HAIRRY ROSLI

KUALA TERENGGANU – “Kenangan yang paling saya rindukan ketika ini ialah suasana ketika pergi menunaikan solat tarawih beramai-ramai di masjid dan kesibukan kami ketika membantu ibu menyediakan juadah untuk berbuka puasa serta bersahur.”

Demikian ujar Nur Ain Fitriyah, 17, kakak sulung daripada tiga beradik yatim piatu setelah kehilangan ibu bapa mereka, Rozita Mamat, 41, dan Ahmad Arsad Mamat, 51, yang maut akibat kemalangan jalan raya di Kampung Merchang, Marang 20 Januari lalu.

Ujarnya, hanya gambar, video serta kenangan indah yang pernah terukir bersama sebelum ini menjadi pengubat kerinduan.

Kata remaja itu, malangnya kenangan manis itu tidak dapat diulang kembali dan mereka bertiga kini hanya menumpang kasih dengan ibu dan ayah saudara yang tinggal berdekatan.

“Muhammad Adami Najmudden, 13, masih trauma dengan kehilangan itu apatah lagi dia me­nerima ra­watan di hospital selama 39 hari akibat cedera parah dialami dalam kemalangan sama.

“Adik bongsu, Muhammad Adzli Abid Muayyad, 7, pula se­ring menyatakan rasa rindu terhadap ibu ayah kerana dia yang paling manja,” katanya ketika ditemui di rumah ibu saudara di Kampung Bukit Depu, di sini semalam.

KEADAAN kemalangan yang meragut nyawa Ahmad Arsad dan Rozita di Kilometer 41.5, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Merchang, Marang pada Januari lalu.

Terdahulu mereka menerima kunjungan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Agama Khairiah berkata, dia yang patah dua belah paha bercuti sakit hingga 16 Mei depan, manakala Muhammad Adami Najmudden diberi cuti sakit hingga April.

“Adik bongsu pula sudah mula bersekolah kerana kecederaan dialaminya hampir sembuh. Kami kini terpaksa memakai lampin pakai buang dan hanya terlantar di atas katil kerana pergerakan yang sangat terbatas,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, ketiga-tiga anak yatim piatu itu kini menjadi anak angkat Perkeso yang akan menerima pelbagai bantuan seperti program Kembali Ke Sekolah, Hari Raya Aidilfitri dan lain-lain keperluan semasa mereka.

“Hari ini kami datang untuk menyerahkan faedah pencen penakat sebanyak RM579.60 sebulan untuk tiga beradik tersebut untuk mematikan kebajikan mereka terjaga.

“Pencen bulanan ibu akan dimasukkan ke akaun penjaga hingga mereka berusia 21 tahun atau tidak lagi di bawah tanggungan atau hingga mereka melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama,” katanya.

Kosmo! Online pada 20 Januari lalu melaporkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan itu meragut nyawa Rozita dan Ahmad Arshad sewaktu mereka bersama tiga anak dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang bagi menjalani pemeriksaan jantung berkala buat Ahmad Arshad. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI